Jumaat, 23 Oktober 2020 | 11:22am

Berat dugaan mu nak...

KOTA BHARU: "Saya reda dengan ujian ini dan akan menjaganya sebaik mungkin, selagi kudrat masih ada," kata Fazatul Azren Husin, 34, ibu kepada kanak-kanak berusia enam tahun, Ummu Damia Khalisya Saifful Amilin, yang menghidap hydrocephalus iaitu lebihan cecair dalam kepala dan Cerebral Palsy (CP).

Fazatul Azren berkata, Ummu Damia Khalisya yang juga anak bongsu daripada dua beradik disahkan menghidap penyakit itu sejak lahir dan keadaan itu menyebabkannya terlantar serta tidak mampu bergerak bebas seperti kanak-kanak seusianya.

Lebih menyedihkan lagi, Ummu Damia Khalisya juga kerap diserang sawan dan perlu bergantung sepenuhnya kepada ubat yang diberikan dua kali sehari, selain tidak dapat bertutur dan sejak berusia empat tahun, kedua-dua matanya tidak lagi dapat melihat.

Menurut Fazatul Azren, ketika usia kandungannya mececah lapan bulan, doktor sudah memaklumkan terdapat masalah di bahagian kepala dan mengesan ada lebihan cecair dalam kepala anak yang dikandungnya.

"Pada ketika itu, doktor memberitahu sekiranya bayi saya dilahirkan, jangka hayatnya adalah di antara seminggu hingga dua minggu, namun saya serahkan segala-galanya kepada Allah SWT sekiranya ditakdirkan umur anak saya tidak panjang.

"Alhamdulillah, anak saya selamat dilahirkan dan dengan izin Allah SWT, dia masih ada sehingga kini. Cuma keadaannya terlantar dan saya perlu memantau serta menguruskannya setiap hari termasuk memandikan dan memberinya makan ubat mengikut waktu," katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Kampung Padang Bongor, Binjai, di sini, semalam.

Katanya, selepas dilahirkan, anaknya ditempatkan dalam Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian selama seminggu bagi memantau keadaannya sebelum dibenarkan pulang.

"Bagaimanapun, ketika Ummu Damia Khalisya berusia empat bulan, saiz kepalanya dari 37 sentimeter membesar kepada 48 sentimeter dalam masa dua minggu, selain kerap menangis mungkin disebabkan saiz kepalanya yang semakin membesar.

"Bimbang dengan keadaan itu, saya membawanya ke Hospital USM dan doktor terpaksa melakukan pembedahan memasukkan tiub di dalam kepala hingga ke pundi kencing bagi membuang lebihan air di dalam kepala.

"Selepas sebulan menjalani pembedahan, saiz kepalanya semakin membesar sehingga 54 sentimeter dan tidak ada perubahan positif, sebaliknya Ummu Damia Khalisya hanya mampu terlantar.

"Setiap minggu, saya perlu membawa Ummu Damia Khalisya menjalani pemeriksaan dengan doktor pakar di HUSM Kubang Kerian serta menjalani rawatan fisioterapi," katanya.

Katanya, bagi meneruskan kelangsungan hidup mereka tiga beranak, dia melakukan kerja separuh masa di bahagian 'housekeeping' sebuah hotel bajet di bandar Kubang Kerian dengan pendapatan RM30 sehari

"Saya perlu memperuntukan RM700 sebulan untuk membeli keperluan Ummu Damia Khalisya iaitu lampin pakai buang dan susu selain kos tambang kereta sewa setiap kali berulang alik ke hospital apabila terdapat temu janji.

"Anak saya memperoleh bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan, namun ia tidak mencukupi kerana selain perlu membeli barang keperluannya, saya juga perlu menanggung seorang lagi anak, Muhammad Khalif Naufal, 10, yang belajar di Sekolah Kebangsaan Mentuan," katanya yang sudah berpisah dengan bekas suaminya sejak tiga tahun lalu.

Fazatul Azren berkata, anaknya itu hanya bergantung kepada susu yang diberikan lapan kali sehari, selain diberi makan bijiran dan makanan lembut.

"Pada setiap bulan, kos untuk membeli susu mencecah sehingga RM500 kerana susu khas berharga RM160 setin, hanya bertahan selama seminggu.

"Harga susu khas itu terlalu mahal, menyebabkan ada ketikanya saya terpaksa mencampurkannya dengan susu biasa supaya bekalan tidak terputus," katanya.

UMMU Damia Khalisya yang menghidap hydrocephalus iaitu lebihan cecair dalam kepala dan Cerebral Palsy (CP) sejak lahir...STR/ HAZIRA AHMAD ZAIDI
UMMU Damia Khalisya yang menghidap hydrocephalus iaitu lebihan cecair dalam kepala dan Cerebral Palsy (CP) sejak lahir...STR/ HAZIRA AHMAD ZAIDI
FAZATUL Azren menjaga serta menguruskan segala keperluan anak bongsunya, Ummu Damia Khalisya yang menghidap hydrocephalus iaitu lebihan cecair dalam kepala dan Cerebral Palsy (CP) sejak lahir...STR/ HAZIRA AHMAD ZAIDI
FAZATUL Azren menjaga serta menguruskan segala keperluan anak bongsunya, Ummu Damia Khalisya yang menghidap hydrocephalus iaitu lebihan cecair dalam kepala dan Cerebral Palsy (CP) sejak lahir...STR/ HAZIRA AHMAD ZAIDI
Berita Harian X