Khamis, 22 Oktober 2020 | 8:40pm

COVID-19: Jangkitan Kluster Tabligh sah berpunca dari Indonesia

PUTRAJAYA: Penjujukan genom terhadap sampel diambil daripada kalangan pesakit COVID-19 membabitkan Kluster Tabligh, mengesahkan andaian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini bahawa ia berpunca dari Indonesia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pada awal jangkitan membabitkan jemaah tabligh yang berhimpun di Masjid Sri Petaling pada akhir Februari hingga awal Mac itu, KKM mengesyaki ia datang dari negara jiran terbabit.

Ini kerana, katanya, ada seramai 692 jemaah Indonesia turut menghadiri perhimpunan jemaah berkenaan.

"Kalau kita lihat perhimpunan Sri Petaling, ada 692 jemaah yang datang dari Indonesia. Ketika itu andaian kita ialah jangkitan itu mungkin datang dari Indonesia.

"Apabila kita membuat penjujukan genom, kita dapati sekarang ini, jangkitan itu datang daripada 'strain' Indonesia," katanya pada sidang media harian COVID-19, di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kajian juga dilaksanakan di Depoh Tahanan Imigresen dan penjujukan genom terhadap sampel daripada pesakit di pusat itu juga menunjukkan ada antara warga Indonesia yang ditahan mendapat jangkitan sama dengan 'strain' dari Indonesia.

"Justeru, permulaan gelombang kedua berasal dari Indonesia," katanya.

Genom ialah bahan baka keseluruhan semua organisma hidup dan boleh dilihat sebagai gedung genetik menyimpan maklumat mengenai protein yang akan dihasilkan organisma untuk hidup.

Walaupun tidak dianggap sesuatu yang hidup, virus juga mempunyai genom dengan nama rasmi virus menyebabkan COVID-19 ialah SARS-CoV-2.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, walaupun penjujukan genom di negara ini hanya dilakukan terhadap sampel yang diambil dalam sesebuah kluster serta jenis tertentu, ia sememangnya membantu kesiapsiagaan KKM dalam menangani penularan wabak itu.

Beliau berkata, penjujukan yang dibuat terhadap kluster jemaah tabligh, Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Sivagangga, Bukit Tiram dan Lahad Datu masih mampu memberi gambaran dari mana seseorang itu mendapat jangkitan COVID-19.

"Malaysia telah menjalankan penjujukan genom, tetapi bukan kepada semua kes yang disahkan positif. Apa yang penting, kita melihat kepada kluster yang akan membantu perancangan strategik KKM, membuat kesiapsiagaan dan sebagainya.

"Penjujukan genom tidak membantu kita membendung penularan COVID-19, tetapi apa yang kita dapat tahu daripada lokasi jangkitan dan kesiapsiagaan, iaitu perancangan kita bagaimana kita kena kawal jika mutasi ini boleh menyebabkan kadar jangkitan yang tinggi," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, penjujukan genom juga mengambil masa lama untuk dikenal pasti, iaitu antara dua hingga tiga minggu.

Pada masa sama, beliau berkata, banyak mutasi D614G sudah menggantikan jenis virus yang sebelum ini menjadi punca jangkitan sejak tahun lalu.

Katanya, setakat ini tiga negeri sudah dikenal pasti mempunyai mutasi D614G, iaitu di Kedah, Sabah dan Johor.

"Kemungkinan besar mereka yang pulang dari Sabah membawa virus itu ke Selangor, tetapi kita sedang menjalankan pengasingan kultur virus untuk mengetahui jika ia benar-benar datang dari Sabah," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X