Rabu, 21 Oktober 2020 | 5:39pm
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

11.36 juta rakyat terima manfaat RM50 kredit e-dompet

PUTRAJAYA: Program pemberian RM50 kredit e-dompet yang tamat pada 30 September lalu telah memberi manfaat kepada 11.36 juta rakyat.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata program itu menyaksikan sebanyak RM567.9 juta telah dimanfaatkan oleh penerima.

"Penyedia e-dompet yang terbabit dalam program itu iaitu Boost, GrabPay dan Touch n Go eWallet juga telah menyumbang manfaat berbentuk padanan kredit dan pelbagai insentif lain berjumlah RM433.8 juta dalam usaha merancakkan ekonomi Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Laporan LAKSANA Ke-26 pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Program kredit e-dompet itu adalah di bawah PENJANA bagi kategori merangsang ekonomi.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata kerajaan turut memberikan sokongan rangsangan ekonomi kepada sektor seni, budaya dan hiburan. 

Katanya, antara peruntukan yang disediakan adalah RM100 juta dalam bentuk pinjaman dan RM40 juta dalam bentuk geran untuk industri kreatif, acara dan pameran di bawah MyCreative Ventures manakala RM10 juta geran lagi disalurkan melalui CENDANA. 

"Sehingga 9 Oktober 2020, sebanyak 269 permohonan telah diterima bagi MyCreative Ventures bernilai RM46.7 juta yang sedang dipertimbangkan.

"Bagi inisiatif CENDANA pula, sebanyak 193 permohonan telah diluluskan bernilai RM3.5 juta, memanfaatkan beberapa bidang seni, budaya dan hiburan seperti pembangunan kandungan digital, usahawan kreatif serta penulisan dan penerbitan," katanya.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan turut memperkenalkan inisiatif bagi merangsang pertumbuhan ekonomi dalam sektor pertanian dan makanan.

Beliau berkata, ia  bertujuan menyuntik pembiayaan di samping menyediakan modal pusingan untuk petani, peladang dan nelayan memulakan semula aktiviti pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

Katanya, daripada peruntukan sebanyak RM400 juta itu, RM350 juta adalah peruntukan di bawah Skim Pembiayaan Mikrokredit Agrobank. 

"Sehingga 9 Oktober 2020, sebanyak RM18.8 juta telah disalurkan di bawah skim ini bagi memanfaatkan 2,335 perusahaan kecil dan sederhana serta mikro. 

"Selain skim pembiayaan mikrokredit, inisiatif ini juga merangkumi insentif memudahcara mobiliti kerja pertanian kepada syarikat perintis dan sumbangan 'in-kind' bagi menyokong pertanian bandar," katanya.

Berita Harian X