Selasa, 20 Oktober 2020 | 10:19pm
Sebuah kenderaan dilihat berpatah balik di laluan sempadan antara Negeri Sembilan dan Selangor yang ditutup iaitu jalan menuju ke Hulu Langat ekoran perlaksanaan Perintah Kawalan Bersyarat (PKPB) bagi mencegah penularan COVID-19 ketika tinjauan foto di Jelebu hari ini. - Foto BERNAMA
Sebuah kenderaan dilihat berpatah balik di laluan sempadan antara Negeri Sembilan dan Selangor yang ditutup iaitu jalan menuju ke Hulu Langat ekoran perlaksanaan Perintah Kawalan Bersyarat (PKPB) bagi mencegah penularan COVID-19 ketika tinjauan foto di Jelebu hari ini. - Foto BERNAMA

PKPB: Pelbagai alasan mohon rentas negeri

PUTRAJAYA: Hendak memancing dan hantar kucing di luar daerah antara alasan diterima polis untuk permohonan rentas negeri.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali, berkata sejak 5 Oktober lalu pihaknya menerima 990 permohonan untuk rentas negeri.

Katanya, daripada jumlah itu, tujuh daripadanya terpaksa ditolak kerana memberi alasan tidak munasabah.

"Selain itu ada juga di antara mereka yang memohon untuk rentas daerah kerana mahu berjumpa rakan dan bersukan di kawasan yang dikategorikan sebagai zon merah," katanya kepada BH di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Fadzil berkata sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Putrajaya yang bermula 14 Oktober lalu, pihaknya sudah membuat 21 tangkapan serta mengeluarkan 22 kompaun atas pelbagai kesalahan.

"Antara kesalahan yang dilakukan ialah tidak memakai pelitup muka, tiada penjarakan fizikal, membawa lebih penumpang, tidak mendaftar sebelum memasuki premis dan tidak menyediakan alat pengimbas suhu di premis.

"Selepas pelaksanaan PKPB di Putrajaya, kita ambil dua hari sebagai tempoh untuk memberi nasihat kepada masyarakat. Kini individu yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) akan terus dikenakan tindakan," katanya.

Berita Harian X