Selasa, 20 Oktober 2020 | 6:06pm

Hospital Medan di Tawau beroperasi hari ini

TAWAU: Hanya mengambil masa tujuh hari untuk disiapkan, Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sini, memulakan operasi hari pertama hari ini bagi menyokong Hospital Tawau dalam menangani pandemik COVID- 19.

Komander Hospital Medan ATM di Tawau, Kolonel Dr Shamsul Bahary Muhamad, berkata sebagai permulaan seramai 10 pesakit ditempatkan di hospital terbabit namun jumlah itu akan ditingkatkan dari semasa ke semasa.

Menurutnya, pengoperasian fasa pertama itu membabitkan penyediaan kompleks wad yang mempunyai kapasiti 100 katil, enam wad lelaki dan wanita pelbagai disiplin termasuk perubatan, pembedahan dan ortopedik serta ruang resusitasi dan prosedur selain kemudahan asas untuk pesakit dan staf bertugas.

"Pembinaan hospital menggunakan konsep hibrid dengan mengguna pakai bangunan sedia ada iaitu di dewan tertutup Kompleks Sukan Tawau yang diubahsuai bagi memenuhi keperluan semasa.

"Kejayaan mewujudkan hospital ini yang hanya mengambil masa tujuh hari adalah contoh terbaik komitmen semua pihak bagi memberikan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat setempat di sini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Shamsul Bahary berkata, pihaknya juga kini sedang giat mengadakan perbincangan bagi pengoperasian fasa kedua bersama Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Hospital Tawau.

Hospital Medan yang terletak kira-kira 5.8 kilometer dari Hospital Tawau itu dibina dengan kerjasama KKM dan ATM.

Ia bertujuan untuk menyokong Hospital Tawau bagi merawat kes bukan COVID-19 dan mempunyai kapasiti wad pesakit dalam pelbagai disiplin dan dijangka beroperasi untuk tempoh tiga bulan.

Dengan inisiatif itu juga, Hospital Tawau boleh memberi tumpuan kepada rawatan pesakit COVID-19 yang memerlukan penjagaan rapi.

Sebahagian daripada 100 katil Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang kini bersedia menerima pesakit COVID-19 di Kompleks Sukan Tawau. - Foto BERNAMA
Sebahagian daripada 100 katil Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang kini bersedia menerima pesakit COVID-19 di Kompleks Sukan Tawau. - Foto BERNAMA
Berita Harian X