Selasa, 20 Oktober 2020 | 4:51pm
YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah menzahirkan ucapan takziah di atas kematian bekas pemain kriket negara, Datuk Dr Harjit Singh, malam tadi.
YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah menzahirkan ucapan takziah di atas kematian bekas pemain kriket negara, Datuk Dr Harjit Singh, malam tadi.

Yang di-Pertuan Agong zahir ucapan takziah

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah di atas kematian bekas pemain kriket negara, Datuk Dr Harjit Singh, malam tadi.

Baginda turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian mendiang dan berharap supaya seluruh keluarga bersabar serta tabah menghadapi suasana sedih dan pilu.

"Khidmat bakti dan jasa mendiang, khususnya kepada pembangunan dan perkembangan sukan kriket negara, amatlah dihargai dan pemergian mendiang adalah satu kehilangan besar kepada arena kriket negara," titah baginda dalam satu kenyataan menerusi Facebook Istana Negara hari ini.

Dilahirkan pada tahun 1950, Dr Harjit adalah anak kepada bekas pemain kriket terkenal, Meva Singh dan pembabitan dalam sukan itu bermula dengan pasukan kriket Maktab Sultan Abu Bakar dari tahun 1963 hingga 1966.

Ketika berusia 16 tahun, mendiang menjadi pemain termuda yang mewakili Johor dalam liga utama kriket Malaysia selain turut mengetuai pasukan kriket Medical College XI mewakili Ranchi Universiti dan daerah Dhanbad ketika melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di India.

Dr Harjit kemudiannya mewakili skuad kriket negara bermula pada tahun 1980 dan menjadi ketua pasukan kriket Johor (liga kebangsaan) dari tahun 1982 hingga 1985.

Mendiang pernah menyandang pelbagai jawatan dari tahun 1987, bermula dengan Presiden Majlis Kriket Johor dan Timbalan Presiden Persatuan Kriket Malaysia dari tahun 1990 hingga 2003.

Mendiang juga adalah pengasas progam kriket di sekolah rendah di Malaysia pada tahun 1987 dan penerima Anugerah Kepimpinan Sukan Johor pada tahun 1989, 1995 dan 2007.

Berita Harian X