Isnin, 19 Oktober 2020 | 9:00pm
Hospital medan ATM di Tawau akan mula beroperasi esok. - Foto FB Noor Hisham Abdullah
Hospital medan ATM di Tawau akan mula beroperasi esok. - Foto FB Noor Hisham Abdullah

Hospital medan Tawau mula beroperasi esok

KUALA LUMPUR: Hospital medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Tawau yang disediakan untuk rawatan pesakit bukan COVID-19 akan mula beroperasi esok.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, hospital itu terletak di dalam Dewan Kompleks Sukan Tawau, iaitu kira-kira 5.8 kilometer dari Hospital Tawau.

Katanya, hospital itu disediakan untuk rawatan merangkumi perkhidmatan perubatan am, pembedahan am, obstetrik & ginekologi, ortopedik dan perubatan kanak-kanak dari Hospital Tawau.

"Dengan inisiatif ini, Hospital Tawau boleh memberi tumpuan kepada rawatan pesakit COVID-19 yang memerlukan penjagaan rapi (kategori 3 -5).

"Sebagai permulaan, hospital medan ATM ini mempunyai kapasiti 100 katil dan dilengkapi dengan unit rawatan rapi dan dewan pembedahan," katanya di Facebook beliau.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua kakitangan KKM terbabit serta pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), pihak berkuasa tempatan dan agensi lain yang bertungkus lumus dari awal perbincangan dan pelaksanaan hospital medan Tawau.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Menteri Pertahanan sebelum ini memaklumkan ATM akan mengaktifkan hospital medan di Tawau, Sabah bagi melaksanakan bantuan sokongan untuk merawat kes selain COVID-19.

Antara fokus hospital medan ATM itu katanya termasuk pembedahan trauma dan kecemasan, wad bersalin dan lain-lain.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X