Isnin, 19 Oktober 2020 | 4:50pm
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (dua kiri) ketika melawat Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 berikutan pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor di Bestari Jaya, hari ini.Turut hadir, Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Dr Ahmad Masrizal Mohamad (kanan) serta Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian (tiga, kanan). - Foto BERNAMA
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (dua kiri) ketika melawat Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 berikutan pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor di Bestari Jaya, hari ini.Turut hadir, Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Dr Ahmad Masrizal Mohamad (kanan) serta Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian (tiga, kanan). - Foto BERNAMA

Bekalan air Lembah Klang dijangka pulih 24 jam

KUALA SELANGOR: Gangguan bekalan air di tujuh kawasan di Lembah Klang akibat pencemaran air ketika ini tidak berlanjutan lama apabila empat loji rawatan air (LRA) yang dihenti tugas dijangka mampu beroperasi semula sekitar dua jam lagi.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata pencemaran bau yang menyebabkan LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2, Fasa 3 (SSP3) dan Rantau Panjang dihenti tugas awal pagi tadi, tidak begitu serius berbanding pencemaran pada awal bulan lalu.

Katanya, bacaan ujian bau yang dikesan di muka sauk LRA Rantau Panjang pada jam12.30 tengah malam tadi adalah 1 TON (ukuran kadar bau), manakala bacaaan bau di muka sauk LRA SSP1, SSP2 dan SSP3 adalah 3 TON.

Beliau yakin bekalan air kepada hampir lima juta pengguna dijangka pulih dalam tempoh 24 jam, jika keempat-empat LRA itu boleh beroperasi semula dalam tempoh yang dijangka,

"Berdasarkan maklumat terkini di LRA, kita menjangkakan ia mampu beroperasi semula antara sejam atau dua jam lagi.

"Ketika ini, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan agensi lain yang melakukan siasatan sudah mendapatkan sampel air tercemar dan menghantarnya ke makmal untuk kita mengenal pasti punca pencemaran bau ini," katanya pada sidang media di Muka Sauk LRA SSP2 di sini, hari ini.

Terdahulu, Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan, henti tugas empat LRA itu menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual membabitkan 1,196,457 akaun atau hampir lima juta pengguna di 1,292 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, Air Selangor sudah mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan bagi menggiatkan bantuan kepada pengguna yang terjejas akibat insiden pencemaran berkenaan.

"Air Selangor menyediakan bantuan bekalan air dengan mengerakkan lori tangki ke kawasan yang terjejas dengan keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan sebagainya," katanya.

Mengenai perancangan jangka panjang, Tuan Ibrahim berkata, kementeriannya sudah memulakan usaha mewujudkan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) sebagai alternatif yang mampu membekalkan air terawat di kawasan terjejas sehingga dua minggu, sekiranya berlaku pencemaran sungai pada masa depan.

"Sebagai contoh, kita juga mempertimbang menggunakan air dari tasik di Putrajaya jika pencemaran berlaku di Sungai Semenyih.

"Kami mahu mengurangkan kemungkinan gangguan bekalan air berlaku kepada pengguna, dan kita juga sedang berusaha meningkatkan margin rizab air terawat di Selangor kepada 25 peratus," katanya sambil memaklumkan usaha mewujudkan TAPS turut dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Berita Harian X