Isnin, 19 Oktober 2020 | 2:19pm
Bicara kes rasuah dan pengubahan wang haram dana 1MDB dihadapi Najib ditangguhkan ke November ini. Foto NSTP
Bicara kes rasuah dan pengubahan wang haram dana 1MDB dihadapi Najib ditangguhkan ke November ini. Foto NSTP

Bicara kes Najib, 1MDB tangguh kerana PKPB

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dihadapi Datuk Seri Najib Razak yang dijadualkan bersambung hari ini, ditangguhkan kepada November depan.

Perbicaraan kes berprofil tinggi itu ditunda kepada tarikh lain berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) (PKPB) sejak 13 Oktober lalu sehingga 27 Oktober ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib ketika dihubungi berkata perbicaraan kes itu akan bersambung pada 9 hingga 12 November ini.

Perbicaraan akan bersambung pada tarikh berkenaan dengan mendengar keterangan saksi pendakwaan ke-10, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Mohd Hazem Abd Rahman.

Prosiding sama pada 5 Oktober lalu turut ditangguhkan kerana bekas Perdana Menteri itu menjalani kuarantin kendiri selepas pulang berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Pada 13 Oktober lalu, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dalam kenyataan media menyatakan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat mengarahkan semua kes di Mahkamah Persekutuan, Rayuan, mahkamah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor dan Mahkamah Rendah Wilayah Persekutuan Putrajaya ditangguhkan berkuat kuasa 14 Oktober hingga 27 Oktober ini.

Menurut kenyataan itu, ia selaras dengan pengumuman Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung PKPB di Wilayah Persekutuan Putrajaya, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor bagi membantu kerajaan mengekang penularan wabak Covid-19 yang semakin meningkat.

Najib, 67, didakwa dengan empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB.

Ahli Parlimen Pekan itu juga didakwa dengan 16 tuduhan menerima wang hasil aktiviti haram daripada akaun Tanore Finance Corporation di Falcon Private Bank, Singapura ke akaun AmIslamic Bank Berhad miliknya sebelum memindahkannya semula ke akaun milik Tanore semula berjumlah RM2,196,786,711.87.

Beliu turut didakwa lima tuduhan menggunakan hasil daripada aktiviti haram sebanyak RM20,000,000 untuk dibayar kepada Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO); UMNO Bahagian Batu Kawan (RM100,000); ahli perniagaan, Lim Soon Peng (RM246,000); ORB Solutions Sdn. Bhd (RM2,000,000); dan RM303,000 kepada Semarak Konsortium Satu Sdn Bhd.

Berita Harian X