Ahad, 18 Oktober 2020 | 7:43pm
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, pada sidang media di Putrajaya, hari ini. - NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, pada sidang media di Putrajaya, hari ini. - NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR

COVID-19: Tidak mustahil kekang gelombang ketiga

PUTRAJAYA: Gelombang ketiga COVID-19 mampu dibendung daripada berlarutan hingga awal tahun depan, jika semua pihak memberi kerjasama mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk mengekang penularan wabak itu di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata usaha itu terbukti boleh dijayakan apabila negara pernah melandaikan lengkuk jangkitan ketika gelombang kedua melanda sebelum ini.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa jika semua pihak dapat memainkan peranan dengan sebaik mungkin, kadar kebolehjangkitan atau R naught (R0) akan dapat dikurangkan.

"Graf hingga 31 Oktober 2020 menunjukkan jika kita mengikut unjuran R naught 1.5, bererti pada 31 Oktober ini, besar kemungkinan kita akan mencapai 1,200 atau 1,300 kes sehari.

"Inilah yang kita bimbang. Namun jika bekerjasama secara bersepadu dengan Kementerian Kesihatan, nescaya kita boleh turunkan (kes jangkitan).

"Kalau kita mengimbas kembali, gelombang kedua menyaksikan R naught 3.5 yang bermaksud 100 orang akan menjangkiti 350 individu.

"Bagaimanapun, kita berjaya melandaikannya hingga 0.3. Justeru, tidak mustahil untuk kita melaksanakan tugas menurunkan lagi jangkitan kes dalam komuniti," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Sebagai persediaan menghadapi 'badai' gelombang ketiga COVID-19, Dr Noor Hisham berkata, pendekatan mencegah penularan dan jangkitan pada kali ini adalah lebih bersasar.

"Tumpuan kita lebih bersasar, iaitu kepada negeri tertentu. Tindakan kita juga lebih bersasar.

"Kalau boleh yang pertama, melindungi kawasan atau kumpulan yang berisiko. Contohnya, di pusat jagaan warga emas.

"Kedua ialah penjara dan sebagainya. Ketiga, komuniti seperti rumah panjang dan sebagainya. Mesti elakkan orang luar masuk ke kawasan terbabit. Tindakan ini adalah untuk melindungi kumpulan atau kawasan berisiko.

"Namun yang penting bukan saja Kementerian Kesihatan atau pelbagai agensi bertindak, sebaliknya setiap individu harus ada tanggungjawab sosial untuk bersama-sama memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 di negara ini," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X