Sabtu, 17 Oktober 2020 | 7:21pm

COVID-19: Pelbagai penambahbaikan bagi bendung penularan di Sabah

PUTRAJAYA: Pelbagai penambahbaikan telah dilakukan Kementerian Kesihatan bagi memastikan sistem kesihatan awam dan perubatan di Sabah berada dalam keadaan mampan, sekali gus berupaya membendung penularan COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pihaknya memandang serius situasi penularan di Sabah sejak awal peningkatan bilangan kes wabak itu di negeri berkenaan.

"Banyak usaha dijalankan seperti meningkatkan kapasiti dan mobilisasi aset serta sumber manusia.

"Penambahbaikan dilakukan termasuk mempertingkat kapasiti ujian makmal ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) dan kit ujian pantas (RTK) antigen.

"Selain itu, Kementerian Kesihatan meningkatkan kapasiti katil di hospital COVID-19, Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) serta Unit Rawatan Rapi (ICU), selain alat bantuan pernafasan," katanya pada sidang media harian COVID-19, hari ini.

Memperincikan mengenai peningkatan kapasiti ujian makmal RT-PCR dan RTK-Antigen, Dr Noor Hisham berkata ia ditingkatkan dua kali ganda berbanding sebelum ini.

"Julai lalu, kapasiti ujian RT-PCR di Sabah adalah sebanyak 1,350 ujian. Kini ia mampu melakukan 2,600 ujian RT-PCR sehari. Selain itu, penghantaran sampel RT-PCR setiap hari dilakukan ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) dengan menggunakan perkhidmatan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Pos Laju.

"Perkhidmatan penyumberluaran (outsourcing) kepada makmal swasta turut dilakukan. Misalnya semalam (16 Oktober), sebanyak 4,327

ujian disumberluarkan kepada makmal swasta supaya lebih banyak saringan dapat terus dijalankan di lapangan.

"Bagi RTK Anitgen, penghantaran lebih banyak kit ujian berkenaan mula dilaksanakan sejak Oktober ini iaitu sebanyak 100,000 kit ujian dihantar setiap hari khususnya di Sabah untuk membantu saringan COVID19 di lapangan," katanya.

Bagi penambahan kapasiti katil di hospital COVID-19 serta PKRC, Dr Noor Hisham berkata, Sabah kini mempunyai sembilan hospital dan 21 PKRC.

"Untuk menampung peningkatan jumlah kes COVID-19 di Sabah, jumlah katil hospital COVID-19 dan PKRC ditingkatkan 2.5 kali ganda, iaitu daripada 2,129 katil pada awal September kepada jumlah terkini iaitu 5,414 katil.

Kadar penggunaan katil (BOR) pada ketika ini adalah 35 peratus.

"Selain itu, kita turut menyediakan hospital medan dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Tawau yang akan menempatkan 100 katil bagi kegunaan pesakit bukan COVID-19 supaya lebih banyak katil di Hospital Tawau boleh digunakan untuk pesakit COVID-19," katanya.

Dari sektor peningkatan kapasiti katil Unit Rawatan Rapi (ICU) dan alat mesin bantuan pernafasan (ventilator), Dr Noor Hisham berkata ia sudah diperoleh menerusi peruntukan khas kerajaan serta daripada sumbangan pelbagai pihak.

"Di Sabah khususnya, terdapat 180 ventilator yang disediakan di mana kadar penggunaan adalah sebanyak 32 peratus termasuk oleh kes bukan COVID-19.

"Jumlah katil ICU di Sabah kini adalah 122 katil, di mana kadar penggunaan adalah 72 peratus termasuk pesakit bukan kes COVID-19. Bagi meningkatkan jumlah katil ICU, KKM sudah menyusun atur semula kawasan klinikal di beberapa fasiliti kesihatan di mana kawasan dalam hospital digunakan untuk diubah suai bagi tujuan rawatan pesakit kritikal COVID-19.

"Ini membantu meningkatkan jumlah katil ICU yang sedia ada di Sabah. KKM turut memperkenalkan inovasi bagi membolehkan satu mesin ventilator digunakan oleh dua pesakit COVID-19. Ia dipanggil 'ventilator splitter'yang menggunakan teknologi cetakan 3D (3D printing) yang turut dilaksanakan di beberapa buah negara lain," katanya.

Tambah Dr Noor Hisham, bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan dan rawatan bagi kes bukan COVID-19 tidak terjejas, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah sudah berbincang dan menandatangani beberapa perjanjian dengan hospital swasta.

"Antaranya Institut Jantung Negara (IJN), Hospital Gleneagles Kota Kinabalu, Hospital Gleneagles Pulau Pinang, Hospital Pakar KPJ Sabah, Tawau Specialist Medical Centre dan Jesselton Medical Centre," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X