Sabtu, 17 Oktober 2020 | 4:53pm

COVID-19: TUDM hantar kelengkapan perubatan di hospital Sabah

KUALA LUMPUR: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melaksanakan misi penghantaran kelengkapan untuk Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (HMATM) ke Tawau, Sabah menggunakan pesawat angkut jenis A400 milik pasukan itu, hari ini.

Pesawat dikendalikan Juruterbang, Mejar Mohd Shafique Mohd Amin bersama enam kru itu berlepas dari Pangkalan Udara Subang (PU Subang) dekat sini, pada jam 8.55 pagi dan selamat tiba di Tawau pada jam 11.55 pagi tadi.

Misi penghantaran itu membawa muatan seberat kira-kira 14 tan terdiri daripada kelengkapan HMATM serta pelbagai peralatan perubatan.

Empat pegawai dan 29 anggota daripada Kor Kesihatan Diraja (KKD) turut diterbangkan dalam penerbangan ini bagi membuat persiapan pengoperasian HMATM yang dijangka beroperasi dalam masa terdekat.

Bahagian Perhubungan TUDM dalam satu kenyataan, hari ini memaklumkan penerbangan itu bukan sahaja membuat penghantaran ke Tawau sahaja, malah penghantaran peralatan perubatan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) ke Kota Kinabalu.

"Antara peralatan yang dibawa termasuk pakaian pelindung diri (PPE), 'isolation gown', pelitup muka dan 'Tyvek suit' bagi kegunaan pusat kesihatan di sekitar Sabah.

 Aturgerak aset TUDM bagi penghantaran kelengkapan Hospital Medan ATM dan peralatan perubatan ke Sabah, di pangkalan Udara Subang. - Foto ATM
Aturgerak aset TUDM bagi penghantaran kelengkapan Hospital Medan ATM dan peralatan perubatan ke Sabah, di pangkalan Udara Subang. - Foto ATM

Misi penghantaran ini membawa muatan seberat kira-kira 14 tan terdiri daripada kelengkapan HMATM serta pelbagai peralatan perubatan. - Foto ATM
Misi penghantaran ini membawa muatan seberat kira-kira 14 tan terdiri daripada kelengkapan HMATM serta pelbagai peralatan perubatan. - Foto ATM

"Pesawat turut membawa pelbagai peralatan perubatan Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY Malaysia) yang turut dihantar ke Kota Kinabalu," katanya.

Katanya, misi penghantaran kelengkapan HMATM ini adalah kali pertama dilaksanakan oleh TUDM sepanjang tempoh wabak COVID-19 melanda negara ini.

"Perkhidmatan Kesihatan ATM melalui KKD akan mengoperasikan HMATM di Tawau dengan kerjasama KKM.

"Hospital Medan yang akan beroperasi di Kompleks Sukan Tawau itu akan mempunyai kapasiti 100 katil termasuk empat katil unit rawatan rapi (ICU) yang akan memberikan rawatan khusus kepada kes-kes selain COVID-19.

"Ini bagi membolehkan Hospital Tawau memberikan fokus kepada perkhidmatan rawatan bagi kes COVID-19," kata kenyataan itu.

Mohd Shafique memaklumkan pelbagai misi penghantaran melalui penerbangan ini mengambil masa 12 jam untuk dilaksanakan sebelum pulang semula ke PU Subang dengan membawa pulang sampel ujian swab COVID-19.

Aturgerak aset TUDM bagi penghantaran kelengkapan Hospital Medan ATM dan peralatan perubatan ke Sabah, tiba di Tawau. - Foto ATM
Aturgerak aset TUDM bagi penghantaran kelengkapan Hospital Medan ATM dan peralatan perubatan ke Sabah, tiba di Tawau. - Foto ATM

"Penerbangan ini dibantu pembantu juru terbang, Kapten Noor Mohamad Farhan Mohamad Noor bersama dua orang 'loadmaster' dan tiga orang 'supplementary crew'.

"Sejumlah sampel ujian daripada Tawau, Kota Kinabalu dan Labuan turut akan dibawa pulang bagi membolehkan ujian dibuat di makmal di Semenanjung," katanya.

Hari ini, TUDM turut mengatur gerak sebuah pesawat pengangkut jenis C130H daripada No 20 Skuadron berpangkalan di PU Subang bagi melaksanakan penghantaran peralatan perubatan KKM ke Sabah.

Bantuan penerbangan ini akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa tertakluk kepada sebarang keperluan semasa.

Aturgerak aset TUDM bagi penghantaran kelengkapan Hospital Medan ATM dan peralatan perubatan ke Sabah. - Foto ATM
Aturgerak aset TUDM bagi penghantaran kelengkapan Hospital Medan ATM dan peralatan perubatan ke Sabah. - Foto ATM
Berita Harian X