Jumaat, 16 Oktober 2020 | 8:13pm
Sekumpulan petugas kesihatan Labuan kelihatan bersedia untuk tugasan mengambil sampel dan saringan COVID-19 di kawasan sasaran kluster baharu iaitu Kluster Saguking hari ini. - Foto BERNAMA
Sekumpulan petugas kesihatan Labuan kelihatan bersedia untuk tugasan mengambil sampel dan saringan COVID-19 di kawasan sasaran kluster baharu iaitu Kluster Saguking hari ini. - Foto BERNAMA

Semua kemudahan KKM digerakkan tangani COVID-19

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menggerakkan semua kemudahan dan keupayaannya bagi memastikan sistem kesihatan negara mampu mendepani cabaran wabak COVID-19.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata KKM sudah menambah kapasiti hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Ringan COVID-19 (PKRC) kepada 11,076 katil berbanding 6,795 pada 6 Oktober lalu.

Katanya, jumlah itu termasuk 3,505 katil di 43 hospital COVID-19 dan 7,571 katil di 46 PKRC di seluruh negara, berbanding hanya 2,820 katil di hospital dan 3,975 lagi di PKRC sebelum ini.

"Kadar penggunaan katil COVID-19 di seluruh negara kini masih terkawal pada 45 peratus di hospital dan 37 peratus di PKRC. Jumlah kes aktif hari ini ialah 6,323 manakala kes sembuh pula adalah 245 kes.

"Khusus di Sabah, KKM juga menyediakan katil khusus COVID-19 sebanyak 5,276. Ini adalah peningkatan sebanyak 53 peratus berbanding bilangan katil pada 5 Oktober lalu dalam usaha memastikan kesiapsiagaan adalah pada tahap optimum di negeri itu.

"Malah, sebanyak 16 PKRC kini sedia untuk beroperasi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Adham berkata, bagi meningkatkan kesiapsiagaan di Sabah, KKM melaksanakan mobilisasi petugas kesihatan ke hospital, klinik kesihatan, pejabat kesihatan daerah dan petugas lapangan.

Beliau berkata, mobilisasi itu termasuk 140 pegawai perubatan dan 225 penolong pegawai perubatan.

"KKM juga bekerjasama dengan Kementerian Pertahanan untuk menyediakan Hospital Medan yang menempatkan 100 katil, membawa sampel ujian COVID-19 ke Semenanjung dan menerbangkan 75,000 kit ujian RTK-Antigen serta pelbagai peralatan ke Sabah.

"Dalam membuat analisis dan perancangan strategik yang pragmatik, KKM tidak semata-mata menggunakan titik R-naught, tetapi secara komprehensif pakar KKM di pelbagai peringkat meneliti semua aspek berkaitan.

"Ini termasuk kadar kebolehjangkitan, kadar kematian, kadar penggunaan katil, ciri kluster dan nilai korelasi spatio," katanya.

Beliau menegaskan, kesihatan dan keselamatan nyawa menjadi keutamaan kerajaan dan KKM akan terus mempertingkatkan usaha bersepadu dengan pelbagai pihak untuk menjayakan usaha membendung COVID-19.

  • Lagi berita mengenai COVID-19


  • Berita Harian X