Jumaat, 16 Oktober 2020 | 4:27pm
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang

ATM perkukuh OCP cegah penularan COVID-19 oleh PATI

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus memperkukuhkan Op Cegah Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) atau OCP bagi mencegah penularan wabak COVID-19 oleh PATI di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur (ESSCOM).

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, berkata fasa pertama OCP dilaksanakan di pantai timur Sabah bermula 18 September lalu lalu bagi mengukuhkan OCP sedia ada di bahagian utara dan selatan Sabah.

"Pelaksanaan operasi berkenaan akan terus diperkukuhkan dengan Op Benteng di bawah koordinasi Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) diterajui ATM sebagai agensi peneraju.

"Koordinasi bersepadu itu membabitkan 19 agensi keselamatan dan penguatkuasaan lain termasuk agensi utama iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Jabatan Imigresen (Imigresen) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, seramai 142 PATI ditangkap menerusi pelbagai siri rondaan maritim oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Maritim Malaysia dan Pasukan Polis Marin (PPM) di tiga daerah di pantai timur Sabah iaitu Semporna, Kunak dan Lahad Datu.

"Sebanyak 22 siri rondaan maritim meliputi 54 inisiatif bertanya khabar (IBK) serta operasi pemeriksaan dan penggeledahan bot sudah dilaksanakan setakat ini.

"Aspek kawalan keselamatan terutama di pesisir dan pulau di pantai timur Sabah turut diperkasa melalui rondaan dan kawalan keselamatan dilaksanakan Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA).

"JKDM dan Imigresen turut memperkukuh penguatkuasaan keselamatan masing-masing di pintu sempadan negara terutama di pantai timur Sabah," katanya.

Menurutnya, seramai 12,104 anggota daripada pelbagai agensi di bawah NTF diatur gerak dalam memperkasakan Op Benteng dalam mengekang PATI membolosi sempadan negara terutama melalui lorong tikus di seluruh negara.

"Kawalan sempadan daratan dan lautan perairan negara mampu diperketatkan dengan pembabitan dan kerjasama padu seluruh anggota serta aset daripada semua agensi keselamatan dan penguatkuasaan di bawah NTF.

"Ini secara langsung tidak menjejaskan atur gerak sedia ada trup dan aset ATM yang diselaraskan dalam menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) terutama di Sabah," kata Affendi lagi.

Dalam pada itu, katanya masyarakat juga perlu bekerjasama dalam menyalurkan sebarang maklumat berkenaan dengan PATI, aktiviti penyeludupan, pencerobohan sempadan atau sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan melalui talian hotline Pusat Operasi NTF di talian 011-6251 1223.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X