Jumaat, 16 Oktober 2020 | 12:35pm

PEJUANG kemuka usul undi tak percaya terhadap Muhyiddin

ALOR SETAR: Lima Ahli Parlimen Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) sudah mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk dibentangkan pada Sidang Dewan Rakyat akan datang.

Usul berkenaan dibawa Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad; Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik; Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah dan Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh.

Usul berkenaan dikemukakan mereka melalui notis yang dihantar kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, semalam.

Dalam notis berkenaan, mereka membuat permohonan mengemukakan resolusi untuk membuat ketetapan bahawa Muhyiddin sebagai Ahli Parlimen Pagoh tidak mempunyai keyakinan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Usul itu dibawa mengikut Peraturan Mesyuarat 26 (1) yang dibaca bersama Peraturan Mesyuarat 27 (3) Peraturan Mesyuarat-Mesyuarat Dewan Rakyat.

Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 akan bersidang selama 27 hari mulai 2 November hingga 15 Disember ini.

Sementara itu, Maszlee yang juga Ketua Penerangan Penaja Parti PEJUANG berkata, keputusan mengemukakan usul tidak percaya itu dibuat pada Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Penaja PEJUANG semalam, yang memutuskan agar mereka membawa usul tidak percaya kepada Perdana Menteri.

PEJUANG terima keputusan Maszlee keluar parti itu. FOTO NSTP
PEJUANG terima keputusan Maszlee keluar parti itu. FOTO NSTP

"Keputusan ini diambil kerana kegagalan Perdana Menteri mentadbir kerajaan sewaktu pandemik COVID-19 dan juga keraguan pada bilangan majoriti yang dipunyai Perdana Menteri," katanya.

Kelmarin, Pejabat Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah turut mendedahkan terdapat surat yang ditulis pada 25 September lalu kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, merujuk kepada usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin yang dikemukakan Ahli Parlimen Langkawi, Dr Mahathir.

Usul itu dibawa pada persidangan Dewan Rakyat Mei lalu dan dibawa ke persidangan Julai, namun tidak dibentangkan lagi. Dalam surat itu, Tengku Razaleigh mendakwa Muhyiddin telah menolak usul yang sama untuk dibahaskan sebanyak dua kali.

Sehubungan itu, beliau meminta usul itu dikemukakan kepada Dewan Rakyat sebagai perkara penting yang memerlukan perhatian segera. Jelasnya, ia perlu dibuat agar kerajaan pimpinan Muhyiddin dapat mengesahkan kewajarannya di Dewan Rakyat.

Berita Harian X