Khamis, 15 Oktober 2020 | 8:16pm
Kumpulan pertama petugas perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tiba di Lapangan Terbang Tawau, sini hari ini. - Foto ihsan Markas Divisyen Kelima Infantri Malaysia
Kumpulan pertama petugas perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tiba di Lapangan Terbang Tawau, sini hari ini. - Foto ihsan Markas Divisyen Kelima Infantri Malaysia

Kumpulan pertama petugas perubatan ATM tiba di Tawau

TAWAU: Kumpulan pertama petugas perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selamat tiba di Lapangan Terbang Tawau, sini kira-kira jam 1.30 tengah hari tadi.

Ketibaan pasukan perubatan terdiri daripada empat pegawai dan 32 anggota dari Batalion Pertama Perubatan yang berpangkalan di Kuching dan Kota Kinabalu bersama elemen sokongan menggunakan pesawat TUDM A400.

Komander Hospital Medan ATM di Tawau, Kolonel Dr Shamsul Bahary Muhamad, berkata kehadiran petugas kesihatan Kor Kesihatan Diraja (KKD) itu adalah bagi membantu Hospital Tawau dalam menangani pandemik COVID-19.

"Pasukan ini adalah petugas perubatan pertama ATM yang hadir ke Tawau bagi penugasan fasa pertama Hospital Medan bertempat di Kompleks Sukan Tawau yang dijadualkan beroperasi pada 20 Oktober ini.

"Dengan adanya kemudahan Hospital Medan ATM ini, ia mampu menyokong Hospital Tawau bagi merawat kes-kes bukan COVID 19 dan mempunyai kapasiti wad pesakit dalam berbagai disiplin," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, keupayaan hospital itu juga boleh dipertingkatkan pada bila-bila masa pada fasa seterusnya termasuk menempatkan dewan bedah dan High Dependency Unit.

"Saya mewakili Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera (PKAT), merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pucuk pimpinan tertinggi ATM, Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Hospital Tawau, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

"Tidak dilupakan Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat, Markas Divisyen Kelima Infantri Malaysia, pihak berkuasa tempatan serta agensi-agensi lain yang terbabit dalam menyokong pelaksanaan pengoperasian Hospital Medan ATM ini," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X