Khamis, 15 Oktober 2020 | 2:20pm
Persiapan mewujudkan hospital medan bagi menempatkan pesakit bukan COVID-19 giat dijalankan di Dewan Kompleks Sukan Tawau, di sini. - Foto Ihsan FB Noor Hisham Abdullah
Persiapan mewujudkan hospital medan bagi menempatkan pesakit bukan COVID-19 giat dijalankan di Dewan Kompleks Sukan Tawau, di sini. - Foto Ihsan FB Noor Hisham Abdullah

COVID-19: Hospital medan di Tawau giat dibangunkan

TAWAU: Persiapan mewujudkan hospital medan bagi menempatkan pesakit bukan COVID-19 giat dijalankan di Dewan Kompleks Sukan Tawau, di sini.

Hospital medan kira-kira 10 minit perjalanan dari Hospital Tawau itu adalah kerjasama antara Kementerian Kesihatan (KKM) dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Perkembangan itu dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, menerusi Facebook dengan turut memuat naik beberapa keping gambar persediaan dan kerja-kerja sedang dilakukan di dewan terbabit.

"Pesakit bukan COVID-19 dari Hospital Tawau akan dirawat di hospital medan ini khususnya untuk perkhidmatan obstetrik dan ginekologi, paediatrik, ortopedik dan pembedahan am.

"Ini akan memberi lebih banyak ruang kepada Hospital Tawau merawat kes yang memerlukan penjagaan rapi (kategori 3-5) termasuk yang dirujuk dari daerah berdekatan khususnya Semporna," katanya dalam hantaran itu, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kes yang tidak mempunyai gejala atau gejala ringan (kategori 1 dan 2) akan terus ditempatkan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID19 Berisiko Rendah (PKRC).

"Kementerian menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak terutama ATM yang membantu menjayakan hospital medan ini," katanya.

Terdahulu, ATM dalam satu kenyataan baru-baru ini memaklumkan, Perkhidmatan Kesihatan melalui Kor Kesihatan Diraja akan menghantar 72 petugas dan kelengkapan hospital medan ke Tawau, Sabtu ini.

Ia membabitkan 12 pegawai dan 60 anggota sokongan perubatan yang akan dibawa melalui penerbangan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi tempoh sekurang-kurangnya selama tiga bulan.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X