Rabu, 14 Oktober 2020 | 7:39pm

2 ubat diabetes agen kanser tidak digunakan di Malaysia

KUALA LUMPUR: Dua produk yang mempunyai bahan impuriti N-Nitrosodimethylamine (NDMA) melebihi had ditetapkan, tidak berdaftar dan tidak dibekalkan di fasiliti kesihatan di negara ini.

Pengesahan itu dibuat Kementerian Kesihatan (KKM) susulan laporan laman sesawang CNN Health, Jumaat lalu yang menyebut ubat diabetes ditarik balik susulan kandungan tahap agen penyebab kanser yang tinggi membabitkan dua produk itu.

Produk itu ialah Metformin Hydrochloride Extended-Release Tablets (500 miligram) dan Metformin Hydrochloride Extended-Release Tablets (750 miligram).

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi KKM, Datin Dr Faridah Aryani Md Yusof, berkata setakat ini, hanya 68 produk metformin yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan berada di pasaran Malaysia.

"Untuk makluman, hanya produk berdaftar dengan PBKD sahaja dibenarkan untuk dibekalkan kepada pesakit diabetes di negara ini.

"68 produk itu juga sudah menjalani pengujian impuriti NDMA. Produk metformin yang berada di pasaran pada masa kini tidak dikesan mengandungi NDMA atau tidak melebihi had impuriti NDMA.

"Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) KKM akan menarik balik kelompok produk metformin dalam pasaran sekiranya mempunyai impuriti NDMA yang melebihi had," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

NDMA adalah salah satu impuriti daripada kumpulan nitrosamine yang biasa ditemui pada paras yang rendah, antaranya dalam makanan dan minuman tertentu, pencemar udara (air pollutant) dan hasil daripada proses pengilangan tertentu.

Berdasarkan International Agency for Research on Cancer (IARC), NDMA boleh meningkatkan risiko terjadinya kanser kepada pengguna dalam jangka masa panjang.

Mengulas lanjut, Dr Faridah Aryani berkata, pihaknya sentiasa menjalankan pemantauan secara berterusan menerusi program pemantauan mutu produk berdaftar dan farmakovigilans.

"Ia bagi memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan ubat sentiasa terjamin. KKM akan memaklumkan perkembangan terkini kepada orang ramai dari semasa ke semasa," katanya.

Berita Harian X