X
Rabu, 14 Oktober 2020 | 6:59pm
 Bantuan penerbangan khas TUDM membawa peralatan perubatan, PPE dan sampel ujian COVID-19 dari Sabah dan Labuan. - Foto ihsan ATM
Bantuan penerbangan khas TUDM membawa peralatan perubatan, PPE dan sampel ujian COVID-19 dari Sabah dan Labuan. - Foto ihsan ATM

72 petugas kesihatan ATM dihantar ke Tawau

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Kor Kesihatan Diraja akan menghantar 72 petugas dan kelengkapan Hospital Medan ke Tawau, Sabah, Sabtu ini.

ATM dalam kenyataan hari ini, berkata ia membabitkan 12 pegawai dan 60 anggota sokongan perubatan yang akan dibawa melalui penerbangan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi tempoh sekurang-kurangnya selama tiga bulan.

Pasukan berkenaan akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan diletakkan di bawah pengurusan Hospital Tawau.

Ia terdiri daripada enam pakar perubatan, empat pegawai perubatan, masing-masing seorang pegawai farmasi dan pegawai tadbir hospital serta 60 anggota paramedik dan elemen sokongan.

"Pada peringkat awal, Hospital Medan akan beroperasi di Kompleks Sukan Tawau dengan kapasiti 100 katil termasuk empat katil unit rawatan rapi (ICU) yang memberi rawatan khusus kepada kes selain COVID-19.

"Ini bagi membolehkan Hospital Tawau fokus kepada perkhidmatan rawatan COVID-19, selain keupayaan hospital boleh ditingkatkan pada bila-bila masa, termasuk dewan bedah dan 'High Dependancy Unit'," katanya.

 Bantuan penerbangan khas TUDM membawa peralatan perubatan, PPE dan sampel ujian COVID-19 dari Sabah dan Labuan. - Foto ihsan ATM
Bantuan penerbangan khas TUDM membawa peralatan perubatan, PPE dan sampel ujian COVID-19 dari Sabah dan Labuan. - Foto ihsan ATM

Kenyataan itu turut menjelaskan, Perkhidmatan Kesihatan ATM terbabit secara langsung dalam penghasilan pusat rawatan sementara COVID-19 di Penjara Pokok Sena, Kedah.

"Ia bagi merawat banduan positif COVID-19, selain bertujuan mengurangkan risiko penularan wabak ini kepada komuniti, jika banyak pergerakan keluar masuk pesakit COVID-19 dalam kalangan banduan," katanya.

Mengenai penerbangan khas TUDM, katanya, ia turut menerbangkan pakaian pelindung diri (PPE) dan sampel ujian COVID-19 ke Sabah serta Labuan bagi menampung keperluan pusat kesihatan di negeri itu, dengan kerjasama KKM.

"Ia turut membawa pulang sampel ujian COVID-19 dari Labuan, Kota Kinabalu dan Tawau untuk dihantar ke makmal di Semenanjung, selain penerbangan ini akan dilaksanakan dari semasa ke semasa, tertakluk kepada keperluan," katanya.

Mengulas lanjut, katanya, seramai 621 anggota, masing-masing 396 petugas di Selangor, manakala 225 lagi di Kuala Lumpur dan Putrajaya, digerakkan melalui penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di kawasan berkenaan.

Selain itu, seramai 165 anggota ditugaskan bagi Op PENAWAR di kawasan PKPB dan PKPDB Sabah, membabitkan kawasan terutamanya di Tawau, Semporna, Tambunan, Keningau dan Lahad Datu.

"ATM turut menggerakkan 73 anggota bagi tugasan tertumpu di sekatan jalan raya, rondaan MPV dan kawalan keselamatan sekitar Penjara Pokok Sena, Kedah.

"ATM sentiasa komited dengan amanah dipertanggungjawabkan demi kesejahteraan negara dan rakyat. Masyarakat juga dinasihatkan supaya memberi kerjasama penuh kepada ATM, Polis Diraja Malaysia dan agensi penguatkuasaan keselamatan lain," katanya.

Berita Harian X