Rabu, 14 Oktober 2020 | 6:30pm
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto BERNAMA
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto BERNAMA

Anwar tiada hak umum kerajaan sudah jatuh - Pakar perlembagaan

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak boleh mengumumkan bahawa kerajaan sedia ada sudah jatuh kerana perkara itu hanya boleh ditentukan Yang di-Pertuan Agong.

Malah, pakar perlembagaan, Prof Dr Shamrahayu A Aziz, berkata ini hanya Yang di-Pertuan Agong boleh mengesahkan seseorang itu mempunyai kepercayaan majoriti sebagai Perdana Menteri.

"Apabila Anwar menyatakan kerajaan sudah jatuh, itu sudah tidak menepati undang-undang dan tidak wajar dilakukan.

"Ini kerana untuk menentukan bahawa seseorang Perdana Menteri itu sudah hilang keyakinan ia perlu melalui proses undang-undang yang sah.

"Sebelum nak ditentukan kerajaan itu jatuh, Perdana Menteri kini mempunyai hak untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong dahulu, atau menyatakan peletakan jawatan atau membubarkan Parlimen, " katanya ketika dihubungi BH, di sini.

Pakar Perlembagaan, Prof Dr Shamrahayu A Aziz.
Pakar Perlembagaan, Prof Dr Shamrahayu A Aziz.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah, menitahkan Presiden PKR itu supaya akur dan menghormati proses perundangan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dalam usaha mengambil alih kepimpinan negara.

Ini kerana, Anwar tidak mengemukakan sebarang senarai nama Ahli Parlimen yang menyokongnya untuk mengukuhkan dakwaan itu, sebaliknya hanya memaklumkan jumlah 120 Ahli Parlimen sahaja.

Pada masa sama, Shamrahayu berkata titah Yang di-Pertuan Agong mungkin membawa dua maksud iaitu meminta supaya Anwar mengemukakan senarai nama jika benar mempunyai sokongan majoriti, berlandaskan undang-undang sedia ada.

Beliau berkata, mungkin juga Yang di-Pertuan Agong menasihatkan Anwar supaya membawa jumlah sokongan itu ke Dewan Rakyat dengan melalui proses demokrasi berparlimen.

"Semalam, Anwar sudah diberi peluang untuk memberikan nama, jadi bila ia tidak dilakukan maka langkah beliau setakat itu sahaja dan keadaan pentadbiran asal masih kekal seperti sebelum ini, " katanya.

Berita Harian X