Isnin, 12 Oktober 2020 | 1:56pm

Upah murah punca ambil pekerja binaan Bangladesh, Rohingya

KUALA LUMPUR: Kehadiran warga asing, khususnya Bangladesh dan etnik Rohingya, dikhuatiri menjadi punca lambakan pekerja tidak mahir sektor pembinaan dan kontraktor negara ini, pada masa akan datang.

Situasi sama pernah berlaku di Malaysia suatu ketika dahulu ketika pengambilan ramai pekerja Indonesia dalam sektor berkenaan sehingga mengakibatkan masalah pendatang tanpa izin (PATI) masih belum selesai hingga kini.

Lebih membimbangkan, situasi itu dijangka berulang kerana rakyat Bangladesh yang sebelum ini dibawa masuk untuk sektor perladangan (hanya secara antara kerajaan dan kerajaan atau G2G) dilihat sudah memasuki sektor pembinaan negara.

Turut menjengah ke dalam sektor ini adalah rakyat Rohingya yang dikesan diupah bagi membantu kontraktor dengan upah rendah.

Hasil siasatan BH, ketika ini warga asing berada dalam sektor itu sebagai pekerja rencam sahaja dan biasanya diupah oleh kontraktor kecil atau pemegang Kelas F.

Malah, difahamkan ketika ini kemahiran yang ada pada warga Bangladesh dan etnik Rohinga masih terhad dan tidak sebaik warga Indonesia, namun sedikit sebanyak ia mempengaruhi pengambilan warga negara ini disebabkan upah yang murah.

Mengikut CIDB, adalah menjadi kesalahan bagi pekerja Bangladesh yang berkhidmat dalam sektor yang bukan ditetapkan dalam Permit Lawatan Kerja Sementara (PLKS) mereka. - Foto NSTP
Mengikut CIDB, adalah menjadi kesalahan bagi pekerja Bangladesh yang berkhidmat dalam sektor yang bukan ditetapkan dalam Permit Lawatan Kerja Sementara (PLKS) mereka. - Foto NSTP

Hasil siasatan BH, ketika ini warga asing berada dalam sektor pembinaan sebagai pekerja rencam sahaja dan biasanya diupah oleh kontraktor kecil atau pemegang Kelas F. - Foto NSTP
Hasil siasatan BH, ketika ini warga asing berada dalam sektor pembinaan sebagai pekerja rencam sahaja dan biasanya diupah oleh kontraktor kecil atau pemegang Kelas F. - Foto NSTP

Warga asing itu belum mempunyai kelompok yang besar seperti warga Indonesia, namun mereka bijak mencari peluang dengan bermula dari kerja ringan seperti melakukan kerja mengecat dan menyimen bangunan.

Berbanding warga Indonesia, pembabitan warga Bangladesh dalam industri pembinaan dan kontraktor negara tidak dibolehkan kerana mereka ini dibawa masuk sebagai pekerja perladangan, oleh itu kehadiran mereka dalam sektor ini menimbulkan persoalan adakah mereka ini tinggal lebih masa atau melarikan diri dari kawasan perladangan.

Sementara itu, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) mengakui, mengesan kewujudan warga Bangladesh yang melanggar Permit Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan mula memasuki sektor pembinaan sejak kebelakangan ini.

Kata agensi itu, warga asing juga menjadi dalang dalam kehadiran kelompok itu apabila mereka dikesan menjadi ejen untuk membekalkan pekerja Bangladesh kepada kontraktor tempatan.

"CIDB mengesan perkara ini berlaku kerana warga asing ini akan mengambil kesempatan untuk memberikan perkhidmatan sebagai 'sub-labour' atau ejen kepada kontraktor kecil yang sememangnya mencari pekerja dengan upah yang murah," katanya kepada BH.

CIDB menjelaskan, punca utama situasi itu berlaku disebabkan permintaan tinggi daripada pelanggan (warga tempatan) yang hanya mahu mendapatkan perkhidmatan yang murah atau bayaran rendah sehingga ia diambil kesempatan oleh warga asing yang sentiasa mencari peluang di Malaysia.

Untuk diakredit sebagai pekerja binaan mahir mereka perlu menjalani ujian Penilaian Kompetensi Kemahiran (PKK) dan dianugerahkan Sijil Kompetensi Kemahiran Pembinaan (SKKP). - Foto NSTP
Untuk diakredit sebagai pekerja binaan mahir mereka perlu menjalani ujian Penilaian Kompetensi Kemahiran (PKK) dan dianugerahkan Sijil Kompetensi Kemahiran Pembinaan (SKKP). - Foto NSTP

Mengikut CIDB, adalah menjadi kesalahan bagi pekerja Bangladesh yang berkhidmat dalam sektor yang bukan ditetapkan dalam Permit Lawatan Kerja Sementara (PLKS) mereka.

"Sekiranya mereka dibawa masuk untuk berkhidmat dalam sektor lain contohnya perladangan, tetapi bekerja dalam sektor pembinaan, perbuatan itu melanggar peraturan dalam PLKS mereka.

"Sekiranya mereka didapati bekerja di tapak pembinaan tanpa PLKS yang sah untuk sektor pembinaan, CIDB akan mengambil tindakan dan melaporkannya kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN)," kata CIDB.

Malah, CIDB menegaskan, kontraktor yang didapati terbabit mengupah warga asing tanpa PLKS yang sah juga akan dikenakan tindakan.

"Kami sentiasa menggiatkan aktiviti penguatkuasaan secara berterusan dan kontraktor yang didapati bersalah akan dikenakan tindakan tegas.

Keselamatan terabai, tiada kualiti kerja

Rumah retak, litar pintas, bumbung menanti runtuh dan struktur bangunan tidak selari adalah antara risiko yang menanti pelanggan atau rakyat tempatan sekiranya mereka menggunakan khidmat warga asing sebagai buruh kontraktor.

Tahap Keselamatan dan kualiti kerja warga asing yang tiada kemahiran dalam bidang pembinaan boleh dipertikaikan. - Foto NSTP
Tahap Keselamatan dan kualiti kerja warga asing yang tiada kemahiran dalam bidang pembinaan boleh dipertikaikan. - Foto NSTP

Mengikut Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), situasi itu berlaku kerana kebanyakan pelanggan di negara ini hanya mahu mengupah kontraktor yang boleh memberikan harga yang murah hingga mengabaikan aspek keselamatan yang lain.

Pekerja warga asing yang tidak mempunyai permit seperti dari Bangladesh, bukan kelompok pekerja mahir, justeru tahap keselamatan dan kualiti kerja mereka boleh dipertikaikan.

"Aspek keselamatan dan kualiti akan terjejas di mana pengguna akan mendapat produk pembinaan yang rendah tahap keselamatannya serta kualiti hasil kerja yang tidak memuaskan kerana dibina oleh pekerja yang tidak mahir.

"Kesannya, pengguna perlu menanggung risiko kemalangan dan kos tambahan bagi memperbaiki kerosakan yang berlaku," katanya.

Mengulas mengenai kemahiran yang dimiliki warga Bangladesh, CIDB berkata, mereka tidak mempunyai kemahiran khusus dalam bidang pembinaan di negara.

"Mereka tidak menyamai kemahiran tenaga kerja seperti negara lain khususnya dari Indonesia. Semua warga asing yang memasuki Malaysia termasuk dari Bangladesh tidak mempunyai kemahiran khusus dalam sektor pembinaan.

"Untuk diakredit sebagai pekerja binaan mahir mereka perlu menjalani ujian Penilaian Kompetensi Kemahiran (PKK) dan dianugerahkan Sijil Kompetensi Kemahiran Pembinaan (SKKP) bagi membolehkan mereka berkhidmat di sektor pembinaan," katanya.

Rakyat kita buka peluang, punca buruh asing berleluasa

Kehadiran warga asing dalam sektor pembinaan, dikesan berpunca daripada rak- yat tempatan yang memberi peluang dan ruang untuk mereka terus 'berkarya' secara haram.

 Foto hiasan
Foto hiasan

Usaha kerajaan dalam mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing bagi industri pembinaan bakal dibincangkan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini. - Foto NSTP
Usaha kerajaan dalam mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing bagi industri pembinaan bakal dibincangkan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini. - Foto NSTP

Ia diakui beberapa warga asing yang menjelaskan ada di antara rakyat tempatan hanya 'untung di atas angin' dengan hanya membiarkan warga asing mencari projek dan meneruskan kerja pembinaan secara sendiri.

Warga asing yang dikenali sebagai Wak, 52, berkata sekitar awal 1990-an, dia tiba di negara ini untuk menjadi pekerja pembinaan yang sah, namun selepas beberapa tahun bekerja, dia meneruskan hasrat bermastautin dan mencari rezeki di sekitar Selangor.

Katanya, walaupun masih berkhidmat dengan beberapa 'tauke tempatan', ada banyak projek kecil dilakukan sendiri selepas mutu kerjanya diakui di beberapa kejiranan penduduk.

"Saya akui harga yang saya tawarkan rendah berbanding kontraktor berlesen kerana saya uruskan sendiri untuk disesuaikan dengan bajet pelanggan. Hasil kerja saya pastikan yang terbaik dan tidak berkira dengan pelanggan.

"Saya masih bekerja dengan kontraktor tempatan dan mereka juga tahu saya ada projek sendiri yang perlu disiapkan. Malah, jika ada urusan yang memerlukan permit pihak berkuasa tempatan (PBT), mereka akan membantu," katanya yang mengakui akan bekerjasama dengan kontraktor tempatan sekiranya ada projek yang lebih besar.

Amer, 28, pula menjelaskan, walaupun belum mahir dalam kerja pembinaan, dia selesa bekerja sebagai buruh binaan, kerana mempunyai masa tersendiri, selain dilayan baik oleh warga tempatan.

"Ketika ini saya hanya menguruskan kerja mengecat dan membuat siling lepa sahaja. Saya hanya akan membantu melakukan kerja lain sekiranya tidak cukup kakitangan pada hari tertentu, tetapi hanya kerja biasa seperti mengangkat dan membancuh simen sahaja," katanya.

Berita Harian X