KLANG: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Op Penawar, membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan RELA dalam menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sekitar Mukim Klang.
Markas ATM dalam kenyataannya, berkata Op Penawar membabitkan penugasan anggotanya dalam melakukan Sekatan Jalan Raya (SJR) sekitar Mukim Klang.
"Antara lokasi terbabit adalah Bukit Tinggi dan Sri Andalas di daerah Klang Selatan dan kawasan Kampung Kuantan di Daerah Klang Utara," katanya.
Sabtu lalu, Panglima ATM, Tan Sri Affendi Buang, berkata menerusi Op Penawar, semua anggota ATM ditugaskan membantu menguatkuasakan Perintah Pergerakan Pemulihan (PKPP), Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) dan PKPB.
"Atur gerak bagi anggota ini akan ditambah mengikut keperluan dari semasa ke semasa terutama di kawasan PKPD dan PKPDB di Tawau, Kunak, Semporna dan Lahad Datu, selain PKPB Mukim Klang.
"Sehingga semalam, TDM menambah 40 anggota untuk ditugaskan di kawasan zon merah di Mukim Klang," katanya.
Seramai 1,140 anggota tentera dikerahkan bagi bagi membantu Kementerian Kesihatan mengawal penularan COVID-19 di seluruh negara.
Anggota Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan terbabit penugasan sekatan jalan raya (SJR) dan rondaan menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV).