Ahad, 11 Oktober 2020 | 9:21pm
Kenderaan yang membawa pasukan sanitasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dilihat memasuki perkarangan Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 8(1) untuk kerja-kerja sanitasi di sekolah itu pada hari kedua penutupan sehingga 16 Oktober ini. - Foto BERNAMA
Kenderaan yang membawa pasukan sanitasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dilihat memasuki perkarangan Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 8(1) untuk kerja-kerja sanitasi di sekolah itu pada hari kedua penutupan sehingga 16 Oktober ini. - Foto BERNAMA

COVID-19: 298 sekolah di daerah Petaling ditutup

KUALA LUMPUR: Sebanyak 298 sekolah dalam zon merah di daerah Petaling, Selangor ditutup bermula esok sehingga 25 Oktober ini berikutan peningkatan kes COVID-19.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan penutupan itu merangkumi sekolah rendah, menengah serta sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM selain sekolah yang mempunyai asrama termasuk Kolej Vokasional.

"Ibu bapa atau penjaga perlu mengambil murid yang tinggal di asrama terbabit untuk pulang.

"Bagaimanapun, murid yang menunggu untuk diambil ibu bapa atau murid yang ingin terus kekal berada di asrama sekolah dan Kolej Vokasional sepanjang tempoh penutupan sekolah akan berada di bawah penjagaan warden asrama.

"Keperluan makan dan minum murid sepanjang tempoh terbabit akan disediakan oleh pihak sekolah," menurut kenyataan itu.

Kenyataan sama menyebut, dalam tempoh penutupan sekolah, pengetua dan guru besar akan memastikan guru serta murid melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah mengikut kesesuaian guru dan murid.

Manual pengajaran dan pembelajaran di rumah boleh dimuat turun di portal rasmi KPM di www.moe.gov.my.

"Bagi sekolah yang sedang melaksanakan peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), penjadualan semula ujian itu boleh dibuat ke satu tarikh yang bersesuaian.

"Dalam hal ini, KPM sentiasa memantau situasi di seluruh negara serta sentiasa bekerjasama rapat dengan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan," katanya.

Sebarang pemakluman berhubung penutupan sekolah bagi daerah-daerah lain akan dibuat dari semasa ke semasa.

  • Lagi berita mengenai COVID-19


  • Berita Harian X