Ahad, 11 Oktober 2020 | 3:19pm
Kakitangan Hospital Duchess of Kent dan Majlis Perbandaran Sandakan sibuk memasang katil di Kompleks Sukan Sandakan yang akan dijadikan Pusat Rawatan COVID -19 yang stabil hari ini. - Foto BERNAMA
Kakitangan Hospital Duchess of Kent dan Majlis Perbandaran Sandakan sibuk memasang katil di Kompleks Sukan Sandakan yang akan dijadikan Pusat Rawatan COVID -19 yang stabil hari ini. - Foto BERNAMA

KKM tambah kemudahan di Sabah

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menambah hospital, pusat kuarantin dan katil bagi memudahkan merawat pesakit COVID-19 di Sabah.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata penambahan kemudahan terbabit dibuat bagi memastikan kesiapsiagaan di semua peringkat ketika penularan COVID-19 di negara ini.

Katanya, Hospital Marudu adalah hospital terbaharu yang dijadikan sebagai pusat merawat pesakit COVID-19 di Sabah.

"Berikutan itu, KKM kini mempunyai tujuh hospital untuk merawat kes COVID-19 yang memerlukan penjagaan perubatan. Susulan itu hospital KKM di Sabah akan dapat menyediakan lebih kemudahan penjagaan rawatan rapi bagi pesakit COVID-19 kategori tiga hingga lima.

"KKM juga menambah 946 katil bagi semua tujuh hospital terbabit serta menambah enam Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba. - Foto NSTP
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba. - Foto NSTP

"KKM kini mempunyai 16 PKRC bagi merawat kes COVID-19 yang tidak mempunyai gejala atau gejala ringan (kategori satu dan dua). Dengan itu, PKRC di Sabah kini mempunyai sejumlah 3,876 katil," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Adham berkata, kapasiti keseluruhan KKM di Sabah melonjak kepada 4,834 katil berbanding sebelum ini 2,596 katil.

"Kadar penggunaan katil buat masa ini ialah 30 peratus dan masih boleh menampung pertambahan kes," katanya.

Dalam pada itu, bagi langkah kesiapsiagaan hospital di Pantai Timur Sabah, Dr Adham berkata pihaknya turut menjalinkan kerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menyediakan Hospital Medan di Tawau.

"Kemudahan itu membolehkan pesakit bukan COVID-19 dari Hospital Tawau terus mendapat rawatan. Hospital Medan ini khususnya menyediakan perkhidmatan Obstetrik dan Ginekologi, Pediatrik dan Pembedahan Am.

"Langkah itu akan memberi lebih banyak ruang kepada Hospital Tawau untuk merawat kes-kes COVID-19 kategori tiga hingga lima, manakala kes bagi kategori satu dan dua pula akan terus ditempatkan PKRC.

"Perancangan awal adalah bagi menempatkan 100 katil di Hospital Medan ini," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19


  • Berita Harian X