Ahad, 11 Oktober 2020 | 12:17pm
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah

KKM tambah hospital rawat COVID-19 di Sabah

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menambah sebuah lagi hospital di Sabah bagi merawat pesakit dijangkiti COVID-19.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata dengan penambahan itu, ia menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak tujuh hospital beroperasi bagi merawat kes COVID-19 dan memerlukan penjagaan rapi terutama kategori tiga hingga lima.

Dr Noor Hisham berkata, jumlah katil bagi semua tujuh hospital di Sabah itu adalah sebanyak 946 katil.

Tujuh hospital itu ialah Hospital Queen Elizabeth, Hospital Wanita dan Kanak-kanak, Hospital Duchess of Kent, Hospital Tawau, Hospital Lahad Datu, Hospital Keningau dan Hospital Marudu.

"Peperangan dengan COVID-19 hanya boleh dimenangi dengan kesepaduan semua pihak, tidak kira latar belakang, pangkat, darjat dan profesion, mematuhi prosedur operasi setandard (SOP) ditetapkan.

"Untuk kita berjaya, pastikan kita jaga kita, keluarga kita, masyarakat kita dan negara kita," katanya menerusi ciapan di akaun Twitter rasminya, hari ini.

Menerusi ciapan di Twitter rasmi KKM pula, Dr Noor Hisham berkata, sebuah hospital medan yang dirancang dibuka dekat Tawau bakal menempatkan 100 katil dan kemudahan lain yang dinilai keperluannya dari semasa ke semasa.

Katanya, hospital medan itu akan ditempatkan di Kompleks Sukan Tawau namun masih di peringkat perbincangan awal.

"Hospital medan ini akan memberi banyak ruang kepada Hospital Tawau merawat kes COVID-19 yang memerlukan penjagaan rapi," katanya.

Beliau berkata, Hospital Tawau juga boleh merawat pesakit yang dirujuk dari Semporna.

Bagi pesakit tidak bergejala dan bergejala ringan, iaitu dalam kategori satu dan dua, akan terus ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah.

Sementara itu, Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam kenyataan memaklumkan, seramai 1,140 anggota tentera dikerah membantu negara dan pihak berkuasa terutama KKM memutuskan rantaian penularan gelombang ketiga pandemik COVID-19.

Menurut kenyataan itu, anggota Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan terbabit penugasan sekatan jalan raya serta rondaan menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV).

"Panglima ATM, Tan Sri Affendi Buang menegaskan ATM sentiasa komited dan bersiap siaga membantu agensi lain berkaitan bagi menangani pandemik COVID-19 yang kini memasuki gelombang ketiga," menurut kenyataan itu.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X