Sabtu, 10 Oktober 2020 | 5:56pm

Wajib lapor polis kenduri kahwin di Mukim Klang

KUALA LUMPUR: Pihak yang mahu mengadakan majlis perkahwinan di mukim Klang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) wajib melaporkannya kepada polis bagi membolehkan pemantauan dibuat bersama anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan juga memutuskan mengehadkan hanya 250 tetamu majlis perkahwinan pada satu-satu masa di mukim Klang.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan bakal atau pasangan pengantin dalam kawasan PKPB yang sudah merancang majlis perkahwinan dalam tempoh terdekat, untuk menangguhkannya terlebih dahulu bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan COVID-19.

"Jika ada permohonan majlis kahwin di mukim Klang, kita benarkan dengan syarat ketat, termasuk perlu ada kawalan RELA.

"Hari ini, kita juga bersetuju menetapkan maksimum 250 tetamu sahaja pada satu-satu masa, walaupun kebiasaannya dibenarkan 500 tetamu mengikut tempat.

"Kita akan umumkan syarat majlis perkahwinan di lokasi PKPB lain jika ada. Saya dimaklumkan setakat hari ini hanya ada satu majlis perkahwinan di mukim Klang, dan esok tiada.

"Namun, saya ingin menasihatkan, walaupun mungkin ada yang sudah merancang mengadakan majlis perkahwinan, kalau boleh elok ditangguhkan," katanya pada sidang media secara maya, hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, SOP PKPB bagi setiap kawasan berkemungkinan berbeza antara satu sama lain, kerana ia bergantung kepada situasi semasa di kawasan berkenaan.

"SOP asas adalah sama namun syarat tertentu boleh diubah, tertakluk kepada situasi setempat. Contohnya PKPB di mukim Klang berbeza dengan PKPB di Pantai Timur Sabah.

"Di mukim Klang, tumpuan PKPB ini adalah pada 70 lokaliti kerana sebilangan kes di lokasi tertentu dalam mukim ini terlalu kecil, hanya satu, dua kes.

"Di Pantai Timur Sabah, hampir seluruh kawasan adalah zon merah dan kes masih meningkat. Jadi, pendekatan di Sabah lebih ketat," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto BERNAMA
    Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto BERNAMA
    Berita Harian X