Sabtu, 10 Oktober 2020 | 5:34pm
Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) membantu pihak berkuasa lain terutama Kementerian Kesihatan bagi mengawal penularan COVID-19 di seluruh negara.-Foto NSTP/Amran Hamid
Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) membantu pihak berkuasa lain terutama Kementerian Kesihatan bagi mengawal penularan COVID-19 di seluruh negara.-Foto NSTP/Amran Hamid

COVID-19: 1,140 anggota tentera dikerahkan

KUALA LUMPUR: Seramai 1,140 anggota tentera dikerahkan di lapangan bagi membantu pihak berkuasa lain terutama Kementerian Kesihatan bagi mengawal penularan COVID-19 di seluruh negara.

Anggota dari Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan terbabit penugasan sekatan jalan raya (SJR) dan rondaan menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV).

Selain itu, mereka juga perlu meningkatkan aspek kawalan termasuk pemasangan kawat duri di kawasan berisiko seperti di Kunak dan Semporna, Sabah.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam satu kenyataan hari ini, berkata menerusi Op Penawar, semua anggota itu ditugaskan untuk membantu dan menguat kuasakan Perintah Pergerakan Pemulihan (PKPP), Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menurut kenyataan itu, Panglima ATM, Tan Sri Affendi Buang memberi jaminan pihaknya sentiasa komited dan bersiap siaga membantu agensi lain berkaitan bagi menangani pandemik COVID-19 yang kini memasuki gelombang ketiga.

"Ia juga termasuk pelaksanaan Task Force Operasi Pematuhan dalam membantu pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memantau dan menguat kuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP ditetapkan.

"Atur gerak bagi anggota ini akan ditambah mengikut keperluan dari semasa ke semasa terutama di kawasan PKPD dan PKPDB di Tawau, Kunak, Semporna dan Lahad Datu selain PKPB Mukim Klang.

"Sehingga semalam, TDM menambah 40 anggota untuk ditugaskan di kawasan zon merah di Mukim Klang," katanya.

Mengulas lanjut, katanya, National Task Force (NTF) dengan kerjasama agensi keselamatan lain seperti ATM dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) menerusi Op Benteng, akan terus mempertingkatkan kawasan sempadan maritim dan darat.

Kenyataan itu turut memaklumkan, kawasan Pantai Timur Sabah akan diberikan fokus bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dari negara jiran.

"Kita akan memperkasakan kerjasama kawalan persempadanan di bawah tanggungjawab Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM)," katanya.

Selain itu, katanya, ATM melalui Kor Kesihatan Diraja beroperasi secara bersepadu dengan menyediakan penasihat teknikal di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC).

"Ia turut membabitkan pegawai perubatan, pergigian serta paramedik tentera yang menyediakan perkhidmatan ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR).

"Selain itu, perkhidmatan nyah kuman, pos rawatan dan atur gerak aset perubatan di Hospital Medan bagi membantu operasi Kementerian Kesihatan dalam menangani wabak COVID-19 ini," katanya.

Pada masa sama, katanya, TUDM melaksanakan penerbangan khas untuk membawa peralatan perubatan, pakaian perlindungan diri (PPE) serta sampel RT dengan menggunakan pesawat angkut jenis A400M yang ditempatkan di Pangkalan Udara Subang.

"TUDM sudah melaksanakan misi penerbangan bagi membawa barangan serta kelengkapan perubatan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan Lapangan Terbang Tawau.

"Penerbangan ini adalah kerjasama antara kementerian terbabit dan ATM bagi menyalurkan bantuan serta

barangan perubatan dalam misi mengekang wabak itu," katanya.

i.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X