Khamis, 8 Oktober 2020 | 8:33pm
BN tidak menyertai PRK Parlimen Batu Sapi bagi mengelak penularan COVID-19 semakin meruncing - Ahmad Zahid. Foto arkib NSTP
BN tidak menyertai PRK Parlimen Batu Sapi bagi mengelak penularan COVID-19 semakin meruncing - Ahmad Zahid. Foto arkib NSTP

BN tidak sertai PRK Parlimen Batu Sapi

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) mengambil keputusan untuk tidak menyertai pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata keputusan itu diambil bagi mengelak penularan COVID-19 menjadi semakin meruncing sekiranya PRK berkenaan diadakan.

Katanya, kesan kepada kesihatan awam itu dapat dilihat seperti yang tercetus pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 sebelum ini.

"BN menyerahkan kepada kebijaksanaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memutuskan tempoh berkempen dan kesesuaian tarikh pengundian yang akan dilakukan kelak.

"Pada hemat BN, kesejahteraan dan kesihatan rakyat hendaklah menjadi keutamaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Ketua Pemuda BN yang juga Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyarankan BN dan UMNO tidak meletakkan calon bagi PRK Parlimen Batu Sapi, Sabah.

Asyraf berkata, cadangan itu wajar diperhalusi BN dengan mengambil kira kegawatan penularan pandemik COVID-19 ketika ini.

PRK Parlimen Batu Sapi perlu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Liew Vui Keong, 2 Oktober lalu.

Vui Keong, 60, yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (undang-undang) di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) meninggal dunia di Hospital Gleneagles Kota Kinabalu, Sabah.

Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, suatu kawasan Parlimen perlu diisi dalam tempoh 60 hari apabila berlaku kekosongan selepas pemakluman rasmi daripada Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

SPR kelmarin dilaporkan berkata PRK Parlimen Batu Sapi tetap perlu diadakan susulan kematian Vui Keong, selaras Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan.

SPR dikatakan bakal mengadakan mesyuarat khas pada Selasa depan, di Putrajaya, dengan diterajui Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh bagi membincangkan tarikh-tarikh penting PRK seperti writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih dan persiapan lain.

Parlimen Batu Sapi (P. 185) adalah kerusi yang diwujudkan pasca persempadanan semula kawasan Pilihan Raya Umum (PRU) pada 2003 dan seterusnya PRU 2004 hingga PRU 2018.

Parlimen itu mempunyai dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Sekong dan Karamunting yang masing-masing dimenangi Parti Warisan Sabah (WARISAN) pada pilihan raya negeri lalu.

Berdasarkan rekod, Parlimen Batu Sapi pada awalnya pernah menjadi kubu kuat BN sebelum 'dirampas' WARISAN ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), pada 9 Mei 2018 lalu.

Meneliti keputusan PRU-14, Datuk Linda Tsen Thau Lin, yang mewakili Parti Bersatu Sabah (PBS) kecundang selepas tewas di tangan Vui Keong, dengan majoriti 4,619 undi.

Vui Keong pada asalnya ialah Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) yang juga komponen BN sejak tahun 2006 hingga 2013, sebelum disingkirkan dan diganti oleh Setiausaha Agungnya, Teo Chee Kang.

Penyingkiran itu dibuat selepas Vui Keong didakwa terbabit dalam isu penyalahgunaan kuasa dalam usaha untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai Presiden LDP.

Berita Harian X