Khamis, 8 Oktober 2020 | 5:02pm

PKPB hanya dalam mukim Klang

PUTRAJAYA: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor hanya akan dilaksanakan di Mukim Klang.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata justeru, Mukim Kapar yang juga termasuk dalam Daerah Klang, tidak termasuk dalam PKPB yang akan dilaksanakan mulai tengah malam ini.

"Saya sudah mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Menteri Besar Selangor (Datuk Seri Amirudin Shari) iaitu PKPB Klang adalah di Mukim Klang, tidak termasuk Kapar yang berada dalam daerah Klang.

"Kita sentiasa berhubung dengan kerajaan negeri dan Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Selangor dari segi lokaliti dan sebagainya," katanya pada sidang media hari ini.

Ismail Sabri berkata, perkara lain berkaitan PKPB akan dimaklumkan dalam masa ke semasa.

Beliau berkata, mesyuarat juga bersetuju membenarkan aktiviti ekonomi beroperasi bagi memastikan kegiatan ekonomi dan bekalan barangan serta makanan tidak terjejas, termasuk operasi pasar borong iaitu antara jam 4 pagi hingga 2 petang, pasar biasa bermula jam 6 pagi sehingga 2 petang serta pasar tani bermula jam 6 pagi sehingga 12 tengah hari, namun operasi pasar malam tidak dibenarkan.

Suasana di sekitar Pekan Meru, Klang. Kerajaan bakal mengenakan PKPB di zon merah iaitu Sandakan, Papar, Tuaran di Sabah dan Klang di Selangor, bermula 9 Oktober susulan peningkatan kes COVID-19 di kawasan berkenaan. - Foto BERNAMA
Suasana di sekitar Pekan Meru, Klang. Kerajaan bakal mengenakan PKPB di zon merah iaitu Sandakan, Papar, Tuaran di Sabah dan Klang di Selangor, bermula 9 Oktober susulan peningkatan kes COVID-19 di kawasan berkenaan. - Foto BERNAMA

Katanya, operasi di kedai makan, gerai, warung dibenarkan tetapi terhad dari jam 6 pagi sehingga 10 malam dan pembelian hanya secara pandu lalu, penghantaran serta beli bawa pulang (take away) sahaja.

"Mengenai pengangkutan awam seperti biasa, kerana keperluan mengambil pekerja yang masih kita benarkan bekerja dalam perkhidmatan keperluan asas, maka tentu saja pengangkutan awam diperlukan.

"Semua pengangkutan awam seperti bas, teksi termasuk e-hailing dibenarkan beroperasi bermula jam 6 pagi sehingga 12 malam," katanya.

Ismail Sabri berkata, seperti diumumkan semalam, sektor ekonomi dibenarkan beroperasi namun senarai terperinci industri yang mendapat kebenaran akan diumumkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Pun begitu, beliau berkata, operasi di Pelabuhan Klang akan berjalan seperti biasa.

Menjawab soalan jika pekerja dalam industri yang dibenarkan beroperasi akan menjalani ujian calitan COVID-19, Ismail Sabri berkata, setakat ini pihaknya belum mendapat maklumat membabitkan perkara itu daripada KKM.

PKPB di Selangor hanya akan dilaksanakan di Mukim Klang.
PKPB di Selangor hanya akan dilaksanakan di Mukim Klang.

Beliau berkata, KKM akan melaksanakan ujian calitan COVID-19 bersasar terhadap mereka yang ada kaitan dengan individu yang disahkan COVID-19 positif iaitu kontak rapat akan dikesan sebelum diperiksa.

"Ujian calitan bersasar akan dijalankan oleh KKM," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata, keluhan penduduk di Semporna yang memerlukan bekalan makanan dan kesihatan akan dibawa dalam sidang khas MKN esok.

Pada masa sama, katanya, perkhidmatan bank dan mesin wang automatik (ATM) adalah perkhidmatan perlu yang dibenarkan walaupun dalam kawasan dikenakan PKPB justeru beliau berharap semua bank membuka perkhidmatannya untuk orang ramai.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob. - Foto NSTP
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob. - Foto NSTP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X