Rabu, 7 Oktober 2020 | 8:39am
Pengerusi LPKP Sabah, Datuk Chin Kim Hiung. - FOTO NSTP
Pengerusi LPKP Sabah, Datuk Chin Kim Hiung. - FOTO NSTP

PKPB: Hanya teksi, e-hailing, penghantaran makanan dibenarkan - LPKP Sabah

KOTA KINABALU: Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah menetapkan hanya teksi, perkhidmatan e-hailing dan penghantaran makanan dibenarkan beroperasi di Kota Kinabalu, Penampang serta Putatan, berkuat-kuasa hari ini.

Pengerusinya, Datuk Chin Kim Hiung, berkata ia susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di tiga daerah terbabit yang diumumkan, semalam.

Ia juga selaras Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, Akta Polis 1967 serta Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

"Waktu operasi teksi dan perkhidmatan e-hailing bermula dari jam 6 hingga 8 malam setiap hari, manakala perkhidmatan penghantaran makanan pula dari jam 6 pagi hingga 6 petang saja.

"Pengangkutan awam lain seperti bas mini, bas berhenti-henti, bas ekspres dan kereta sewa tidak dibenarkan beroperasi untuk sementara waktu hingga 20 Oktober depan. Perkhidmatan ini juga tidak dibenarkan memasuki Kota Kinabalu, Putatan dan Penampang sepanjang tempoh PKPB.

"Selain itu, semua teksi dan perkhidmatan e-hailing tidak dibenarkan keluar dari kawasan PKPB," katanya dalam satu kenyataan.

Menjelaskan lanjut, Kim Hiung berkata, semua penumpang, pemandu teksi dan perkhidmatan e-hailing serta pekerja terbabit aktiviti pengangkutan awam, diwajibkan memakai pelitup muka.

Selain itu, wajib menggunakan cecair pembasmi kuman sebelum dan selepas menaiki kenderaan pengangkutan awam, di samping mematuhi penjarakan fizikal dengan bilangan penumpang maksimum dibenarkan seramai dua orang saja.

"Semua pemandu teksi dan perkhidmatan e-hailing juga diwajibkan membuat pembersihan kenderaan selepas tamat waktu beroperasi.

"Penumpang yang bergejala tidak dibenarkan menaiki kenderaan pengangkutan awam," katanya sambil memaklumkan bahawa ibu pejabat LPKP Sabah juga ditutup sepanjang tempoh terbabit.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X