Selasa, 6 Oktober 2020 | 6:49pm
Kementerian Kesihatan menghantar 15,000 kit ujian pantas ke Sabah. - Foto BERNAMA
Kementerian Kesihatan menghantar 15,000 kit ujian pantas ke Sabah. - Foto BERNAMA

COVID-19: 15,000 kit ujian pantas dihantar ke Sabah

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan sudah menghantar 15,000 kit ujian pantas (RTK) antigen (RTK-Ag) ke Sabah, bagi membantu meningkatkan kapasiti saringan COVID-19.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sehingga kini pihaknya masih mempunyai sebanyak 203,704 RTK-Ag.

Katanya, jumlah penggunaan semasa ujian RTK-Ag di negara ini sebanyak 3,000 sehari.

"Pada hari ini, sebanyak 15,000 RTK-Ag sudah dihantar ke Sabah untuk membantu dalam meningkatkan kapasiti saringan kes di negeri berkenaan.

"Usaha ini kerjasama di antara Kementerian Kesihatan (KKM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui 'mercy flight'," katanya dalam sidang media COVID-19, di sini hari ini.

Mengenai pertambahan kes baharu di Sabah, Dr Noor Hisham berkata, pihaknya sudah membuka beberapa wad tambahan bagi menampung peningkatan kes.

"Bagi Hospital Queen Elizabeth, kita membuka wad di Bangunan Kompleks Sukan Likas; Hospital Tawau di Bangunan Kompleks Sukan Tawau; Dewan Arena Tawau, Kompleks Penjara Tawau dan Bangunan Institut Latihan KKM (ILKKM); bagi Hospital Lahad Datu di Dewan Tun Hj Mustapha; dan Hospital Dutchess of Kent, Sandakan, di Dewan Rafflesia (ILKKM) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Putih," katanya.

Mengenai pelan jangka masa terdekat pihaknya bagi membantu mempercepat ujian COVID-19 di Sabah, Dr Noor Hisham berkata, pihaknya sedang mengusahakan makmal modular di Tawau sementara menunggu pembangunan makmal molekular yang tetap di Hospital Tawau.

"GENEXPERT ialah Point of Care Testing (POCT) untuk menjalankan ujian COVID-19 sudah diperoleh pihak KKM dan sudah ditempatkan di beberapa hospital di Sabah.

"Kaset GENEXPERT COVID-19 sudah diperolehi oleh KKM dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kaset itu akan diagihkan kepada Hospital Queen Elizabeth, Hospital Sandakan, Hospital Tawau dan Hospital Labuan dalam masa terdekat," katanya.

Dalam perkembangan lain mengenai kesiapsiagaan pihaknya meningkatkan kapasiti hospital di Malaysia, Dr Noor Hisham berkata, sehingga hari ini sebanyak 6,759 katil sudah ditempatkan.

"Sebanyak 2,820 katil di hospital milik KKM dan 3,975 katil di Pusat Kuarantin dan Berisiko Rendah. Kadar penggunaan katil bagi kedua-dua fasiliti ini sebanyak 36 peratus dan 29 peratus di seluruh negara.

"Bagi jumlah katil unit rawatan rapi (ICU) pula, sebanyak 437 katil dikhususkan bagi pesakit COVID-19 dengan kadar penggunaan sebanyak enam peratus.

"Selain itu, sebanyak 1,505 mesin pernafasan (ventilator) turut disediakan di hospital KKM dengan kadar penggunaan sebanyak 37 peratus bagi seluruh negara. Penggunaan mesin pernafasan itu termasuklah bagi pesakit bukan COVID-19," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X