Isnin, 5 Oktober 2020 | 4:35pm

LZS jangka jumlah 'miskin sementara' meningkat

PETALING JAYA : Lembaga Zakat Selangor (LZS) menjangkakan kira-kira 5,000 hingga 6,000 keluarga 'miskin sementara' yang terkesan akibat pandemik COVID-19 akan menerima bantuan menerusi Bantuan Alternatif Insan Terkesan (BAIT) bermula bulan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M Yusop, berkata berdasarkan unjuran pada April dan Mei lalu, LZS menjangkakan peningkatan sehingga 80,000 keluarga fakir miskin serta mualaf di Selangor, antaranya mereka yang tidak boleh berniaga, dibuang kerja serta dibayar gaji separuh.

"Justeru, LZS melaksanakan beberapa program termasuk BAIT yang bermula Oktober ini di mana LZS meletakkan mereka dalam satu kumpulan yang diberi bantuan sementara selama tiga hingga enam bulan.

"Dalam masa tiga hingga enam bulan ini, kita bantu RM500 sehingga RM1,500 sebulan serta bantuan lain yang mereka perlukan mengikut keadaan keluarga kerana masalah mereka berbeza mengikut individu masing-masing.

"Ini salah satu cara kita memastikan mereka yang menjadi miskin sementara ini dibantu secepat mungkin, jadi mereka boleh keluar daripada kemiskinan yang dihadapi disebabkan COVID-19," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Sijil Pembayar Zakat Korporat di McDonald's Pandu-Lalu Mutiara Damansara di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Naib Presiden Sumber Manusia dan Pengerusi Jawatankuasa Halal Dalaman McDonald's Malaysia, Azhar Darbi.

Saipolyazan berkata, bantuan 'one-off' itu bertujuan memastikan mereka mendapat keperluan asas untuk meneruskan hidup sementara keadaan ekonomi kembali pulih, mendapat kerja baharu serta boleh kembali berniaga.

"Selepas enam bulan, LZS akan buat bancian semula kedudukan ekonomi mereka, jika mereka sudah stabil, kita akan keluarkan mereka dari senarai terbabit.

"Bagaimanapun, jika mereka dalam had kemiskinan atau jatuh dalam kategori fakir miskin, kita akan terus bantu sehingga keluar dari kemiskinan," katanya.

Beliau berkata, kumpulan miskin sementara itu juga turut dibantu menerusi Program Jom Kerja dengan kerjasama beberapa syarikat di negara ini sejak dua bulan lalu.

"Selain bantu mereka membuat resume dan bagaimana cara menghadiri temuduga, pada masa sama LZS bekerjasama dengan PERKESO dan syarikat tertentu di Selangor contohnya Top Glove, Mydin, Mr DIY dan ramai sudah mendapat pekerjaan semula.

"Mereka ini akan dibanci semula, jika sudah berjaya mendapat pendapatan tertentu, kita akan keluarkan mereka dari senarai asnaf," katanya.

Berita Harian X