Ahad, 4 Oktober 2020 | 7:07pm
UniSZA ditutup sementara bagi membolehkan kerja-kerja nyah kuman secara menyeluruh dilakukan susulan seorang kakitangannya disahkan positif COVID-19. - Foto BERNAMA
UniSZA ditutup sementara bagi membolehkan kerja-kerja nyah kuman secara menyeluruh dilakukan susulan seorang kakitangannya disahkan positif COVID-19. - Foto BERNAMA

Seorang kakitangan UniSZA positif COVID-19

KUALA NERUS: Seorang kakitangan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) disahkan positif COVID-19 dan sedang menjalani rawatan dan pengasingan di Hospital Hulu Terengganu.

Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan, berkata kakitangan terbabit mempunyai sejarah perjalanan dari Kuala Lumpur ke Terengganu menaiki kapal terbang sama dengan seorang individu baru pulang dari Sabah dan disahkan positif COVID-19.

"Kakitangan itu diarahkan membuat saringan segera di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) sebaik mengetahui mengenai rekod perjalanan itu sebelum disahkan positif.

"Seramai 14 kakitangan UniSZA dikenal pasti sebagai kontak rapat diletakkan di bawah perintah pengawasan dan kuarantin Kementerian Kesihatan.

"Semua warga UniSZA yang mempunyai kontak dengan kakitangan yang dikuarantin diarahkan menjalani kuarantin kendiri di rumah selama dua minggu bermula 2 Oktober hingga 15 Oktober 2020 bagi menangani penularan wabak itu di UniSZA," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hassan Basri berkata, pihak pengurusan UniSZA memutuskan supaya semua kakitangan untuk bekerja dari rumah bermula 5 Oktober hingga 7 Oktober ini dan aktiviti nyahkuman secara menyeluruh akan dilaksanakan di seluruh Kampus UniSZA di Gong Badak, Kampus Perubatan dan Kampus Besut.

"Arahan itu membabitkan semua operasi pentadbiran kecuali kakitangan yang terbabit dalam perkhidmatan penting essential services) seperti keselamatan, kesihatan, kewangan, hal ehwal pelajar dan kolej kediaman.

"Kebajikan penuntut yang masih berada di dalam kampus akan diuruskan oleh pihak universiti. Sepanjang tempoh penutupan, pengajaran dan pembelajaran (PdP) tetap diteruskan seperti biasa secara dalam talian (online).

"Semua program termasuk mesyuarat dan bengkel secara bersemuka di kampus UniSZA ditangguhkan sehingga keadaan kembali terkawal. UniSZA juga menggerakkan pasukan kaunseling terlatih dan unit kebajikan untuk membantu kakitangan dan keluarga terjejas," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X