Sabtu, 3 Oktober 2020 | 4:20pm

COVID-19: Jangan dedah maklumat individu positif jangkitan

KUALA LUMPUR: Orang ramai diingatkan tidak mendedahkan maklumat mana-mana individu yang didapati positif COVID-19, termasuk di media sosial.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata tindakan sedemikian adalah salah dan melanggar kerahsiaan maklumat peribadi, malah dibimbangi boleh mencetuskan suasana tidak tenteram dalam kalangan masyarakat.

"Ini (dedah maklumat pesakit) tidak boleh. Tidak pernah dulu masa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) nama mereka yang positif didedahkan kerana ia bertentangan dengan hak kerahsian peribadi, data peribadi dikongsikan.

"Akhir-akhir ini, banyak keluar nama bukan-bukan. Nama itu adalah rahsia, sesetengah itu palsu. Ada (dakwaan) EXCO Pahang (positif COVID-19), heboh satu negara dia positif, rupanya tidak betul sehingga Menteri Besar buat penafian," katanya.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - FOTO BERNAMA
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - FOTO BERNAMA

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Putrajaya yang disiarkan secara langsung, hari ini.

Ismail Sabri berkata, mana-mana individu yang secara mudah menyebarkan maklumat individu positif jangkitan itu boleh dikenakan tindakan undang-undang.

"Pihak yang boleh menentukan kontak rapat hanya KKM (Kementerian Kesihatan). Siapa kontak rapat untuk diarahkan kuarantin akan dibuat oleh KKM," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Foto hiasan. - Foto Aizuddin Saad
    Foto hiasan. - Foto Aizuddin Saad
    Berita Harian X