Sabtu, 3 Oktober 2020 | 2:19pm
TABIKA dan TASKA kendalian KEMAS di zon merah COVID-19 akan ditutup bagi memutuskan rantaian penularan wabak berkenaan. - Foto hiasan
TABIKA dan TASKA kendalian KEMAS di zon merah COVID-19 akan ditutup bagi memutuskan rantaian penularan wabak berkenaan. - Foto hiasan

TABIKA, TASKA KEMAS di zon merah COVID-19 ditutup

TASEK GELUGOR: Taman bimbingan kanak-kanak (TABIKA) dan taman asuhan kanak-kanak (TASKA) kendalian Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di zon merah COVID-19 akan ditutup bagi memutuskan rantaian penularan wabak berkenaan.

Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohamad Yasid Bidin, berkata arahan penutupan itu dibuat selaras nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).

Menurutnya, sehingga kini sebanyak 290 iaitu 281 TABIKA dan sembilan TASKA membabitkan 6,699 murid di Sabah, Kedah dan Terengganu yang berada di zon merah COVID-19 diarah tutup.

"Penutupan TABIKA dan TASKA dibuat sehingga arahan serta nasihat selanjutnya daripada KKM," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Wacana Ilmu Wanita Inspirasiku (WINS) Dari Desa Ke Global di Dewan Rafflesia, Midtown Kubang Menerong, di sini, hari ini.

Majlis dirasmikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Shabudin Yahaya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Shabudin Yahaya (tengah) bersama Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohamad Yasid Bidin (dua dari kiri) ketika perasmian Program Wacana Ilmu Wanita Inspirasiku (WINS) Dari Desa Ke Global di Dewan Rafflesia, Midtown Kubang Menerong, Tasek Gelugor. - Foto NSTP/Nur Izzati Mohamad

Mohamad Yasid berkata, KEMAS mempunyai 11,900 TABIKA dan TASKA seluruh negara membabitkan kira-kira 200,000 murid.

"Sepanjang TABIKA dan TASKA dibenarkan di buka semula selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), KEMAS mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Murid yang dibenarkan hadir juga antara 30 hingga 50 peratus setiap hari bergantung keluasan kelas," katanya.

Sebanyak 287 kes baharu jangkitan dicatatkan semalam, tertinggi setakat ini.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X