Jumaat, 2 Oktober 2020 | 11:58am

Polis rampas ketamin RM1.1 juta

CHERAS: Polis merampas dadah jenis ketamin bernilai hampir RM1.1 juta selepas menahan dua lelaki di tepi jalan sekitar kawasan Kampung Baru Salak Selatan, di sini, kelmarin.

Dalam serbuan jam 4.30 petang itu, sepasukan anggota dari Balai Polis Salak Selatan Baru menyita 43 paket plastik lutsinar mengandungi ketamin seberat 19.6 kilogram.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon, berkata dua suspek berusia 18 dan 28 tahun itu ditahan ketika membuka but kereta jenis Perodua Kembara yang mengandungi dadah terbabit.

"Seorang suspek cuba melarikan diri namun tindakan pantas polis berjaya menggagalkan cubaan lelaki berkenaan.

"Dadah dirampas boleh dibekalkan kepada 40,000 pengguna. Ujian saringan air kencing pula mendapati suspek berusia 28 tahun itu positif ganja, Amphethamine (AMP) dan syabu.

"Seorang lagi suspek disahkan negatif dadah. Mereka yang juga penganggur mempunyai rekod jenayah dan dadah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Mokhsein berkata, pihaknya masih giat menjalankan siasatan termasuk mengenal pasti modus operandi dan rangkaian sindiket yang mempunyai kaitan dengan suspek terbabit.

Dua lelaki itu direman tujuh hari bermula semalam mengikut Seksyen 39B dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mengulas kes lain pada hari sama, Mohamed Mokhsein berkata, pihaknya menahan seorang lelaki yang memandu kereta dalam keadaan mencurigakan di perhentian bas dekat Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), di ibu negara.

Katanya, suspek berusia 23 tahun itu ditangkap bersama 65 paket plastik lutsinar mengandungi syabu, 10 pil Erimin 5 dan satu paket lutsinar berisi ganja.

"Suspek mempunyai dua rekod jenayah dan dadah. Bahan terlarang yang dirampas itu mampu dibekalkan kepada 250 penagih.

"Lelaki berkenaan direman selama tujuh hari bermula semalam mengikut Seksyen 39B, 12(2)/(3), 6 dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Ketua Polis Daerah Cheras , Mohamed Mokhsein Mohamed Zon pada sidang media rampasan dadah jenis ketamin yang nilai hampir RM1.1 juta dan dadah jenis Methamphetamine bernilai RM5,650,00 di Ibu Pejabat Polis Cheras, Kuala Lumpur. - Foto Hazreen Mohamad
Ketua Polis Daerah Cheras , Mohamed Mokhsein Mohamed Zon pada sidang media rampasan dadah jenis ketamin yang nilai hampir RM1.1 juta dan dadah jenis Methamphetamine bernilai RM5,650,00 di Ibu Pejabat Polis Cheras, Kuala Lumpur. - Foto Hazreen Mohamad
Berita Harian X