Rabu, 30 September 2020 | 12:43pm
DR Wan Junaidi Tuanku Jaafar. - Foto/NSTP
DR Wan Junaidi Tuanku Jaafar. - Foto/NSTP

Koperasi boleh mohon penjadualan semula bayaran balik pinjaman

KUALA LUMPUR: Koperasi di seluruh negara boleh memohon penjadualan semula bayaran balik pembiayaan Tabung Modal Pusingan (TMP-JPK) kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) selepas tempoh moratorium berakhir hari ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata insentif itu boleh dimanfaatkan oleh koperasi yang benar-benar terkesan akibat pandemik COVID-19.

Namun, katanya pembiayaan tanpa cagaran sehingga RM50,000 menerusi TMP-JPK masih boleh dimohon.

"Secara keseluruhannya, sehingga 31 Ogos 2020, bilangan akaun pembiayaan TMP-JPK adalah berjumlah 1,710 dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM2.13 bilion," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Penjadualan semula bayaran balik pinjaman TMP-JPK itu lanjutan pengumuman Kerangka Inisiatif Tambahan Khas: KITA PRIHATIN yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, minggu lalu.

Mac lalu, SKM menawarkan koperasi di seluruh negara moratorium bayaran balik pinjaman melalui TMP-JPK bernilai RM99 juta untuk tempoh enam bulan, mulai April hingga hari ini.

Untuk lanjutan penjadualan semula bayaran balik pinjaman itu, koperasi yang berminat boleh memohon secara terus ke SKM menerusi emel kepada mustafa@skm.gov.my atau menghubungi talian 03-2083 4175.

Berita Harian X