Selasa, 29 September 2020 | 7:34pm

KEMAS bantu kesan ekonomi rakyat pasca COVID-19

SEREMBAN: Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) boleh memainkan peranan membantu kerajaan melihat kesan ekonomi jangka sederhana ke atas rakyat pasca COVID-19.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata selain sebagai jentera kerajaan, KEMAS juga sentiasa berada di barisan hadapan bagi melihat secara dekat keperluan dan kebajikan rakyat bawahan.

"Sebagai agensi yang berada di lapangan, KEMAS boleh mainkan peranan sebab selepas ini akan tamat moratorium, tahun hadapan kita ada pendapatan garis kemiskinan baharu, jadi kita mesti pastikan bahawa mana-mana keluarga yang ekonomi mereka tidak dapat pulih ataupun terus merosot, kita dapat kenal pasti, supaya segala program bantuan sampai kepada mereka.

"Dalam tempoh enam bulan ini disebabkan moratorium, bantuan PRIHATIN dan sebagainya, mungkin kesan ekonomi terhadap rakyat tidak begitu dirasakan dan dapat dilihat sepenuhnya, namun selepas ini kalau tidak nampak ada pemulihan dan ada yang terus menganggur, pendapatan terjejas, maka kita (kerajaan) kena pastikan bahawa belanjawan akan datang diberikan tumpuan kepada kumpulan ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Wanita Inspirasiku (WINS) Peringkat Negeri Sembilan 2020, di Kelab d'Tempat Bandar Seri Sendayan, di sini, petang tadi.

Yang turut hadir, Pengarah KEMAS Negeri Sembilan, Mohamad Abu Bakar.

WINS anjuran KEMAS adalah program yang membuka peluang kepada wanita menambah ilmu perniagaan dan membantu keluarga daripada terus berada dalam kategori miskin bandar.

WINS membawa tema 'Dari Desa ke Global' menyasarkan penyertaan lebih 16,000 wanita dari seluruh negara.

Terdahulu dalam ucapannya, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau meminta kaum wanita harus diberikan peluang lebih luas sebagai pembuat dasar dan pemimpin politik atau wakil rakyat.

Beliau berkata, pihaknya akui ramai golongan wanita yang berkebolehan dan perlu memberi tumpuan dan usaha memperkasakan wanita bermula di peringkat bawahan.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin (dua dari kanan) melancarkan direktori usahawan KEMAS Negeri Sembilan pada Progam Wacana Ilmu Wanita Inspirasiku "Wanita Global Inspirasi Negara". - Foto Azrul Edham Mohd Aminuddin
    Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin (dua dari kanan) melancarkan direktori usahawan KEMAS Negeri Sembilan pada Progam Wacana Ilmu Wanita Inspirasiku "Wanita Global Inspirasi Negara". - Foto Azrul Edham Mohd Aminuddin
    Berita Harian X