Selasa, 29 September 2020 | 5:29pm

COVID-19 tidak jejas pengambilan penjawat awam

GEORGETOWN: Proses pengambilan penjawat awam menerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Malaysia (SPA) tetap berlangsung seperti biasa, walaupun negara berdepan tekanan ekonomi disebabkan pandemik COVID-19.

Malah penekanan pengambilan pekerja akan diberikan kepada agensi yang terbabit secara langsung dalam krisis COVID-19 seperti Kementerian Kesihatan (KKM) .

Pengerusi SPA, Tan Sri Zainal Rahim Seman, berkata pengambilan membabitkan seramai 22,000 calon setiap tahun, dengan 13,000 hingga 15,000 daripada mereka adalah kakitangan tetap.

"COVID-19 tidak mempengaruhi kekosongan jawatan yang ada dalam perkhidmatan awam dan SPA membekalkan pekerja setiap tahun bagi keperluan jabatan.

"Sekiranya mereka memerlukan lebih banyak kakitangan, doktor atau jururawat di hospital, kami akan meneliti cadangan mereka dan berusaha mengisinya (jawatan)," katanya di sini, hari ini.

Terdahulu Zainal ditemui selepas merasmikan Pusat Temuduga SPA di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar).

Pembukaan pusat itu direalisasikan dengan kerjasama Kementerian Kewangan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

Pusat terbabit dilengkapi dengan empat bilik temu duga dengan satu daripadanya adalah bilik temu duga maya yang membolehkan ia dibuat secara langsung secara dalam talian.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Tan Sri Zainal Rahim Seman (dua dari kiri) merasmikan Pusat Temu Duga SPA Pulau Pinang di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pulau Pinang, Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di sini. Turut bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Abdul Razak Jaafar (kiri).
    Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Tan Sri Zainal Rahim Seman (dua dari kiri) merasmikan Pusat Temu Duga SPA Pulau Pinang di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pulau Pinang, Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di sini. Turut bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Abdul Razak Jaafar (kiri).
    Berita Harian X