Ahad, 27 September 2020 | 1:15am

Dua calon PN, BN hilang deposit

KUALA LUMPUR: Dua calon masing-masing dari Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) hilang deposit selepas tewas kepada Parti Warisan Sabah (WARISAN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, semalam.

Calon PN, Gee Tien Siong, hanya meraih 989 undi ketika tewas kepada calon WARISAN dari DAP, Phoong Jin Zhe, yang memungut 15,510 undi untuk menang dengan majoriti 14,521 undi, di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Luyang.

Sementara itu, calon BN DUN Likas, Dr Chang Kee Ying, hilang deposit selepas hanya memungut 656 undi.

Kerusi itu dimenangi calon WARISAN, Tan Lee Fatt, yang meraih 8,173 undi untuk menang dengan majoriti 7,517.

Calon yang bertanding hilang wang deposit sekiranya gagal memperoleh 1/8 atau 12.5 peratus undi daripada jumlah keseluruhan undi yang dikira.

Syarat undi itu menyaksikan, selain dua calon parti utama itu, ramai lagi calon parti tempatan lain dan calon Bebas turut hilang wang deposit masing-masing.

Berita Harian X