Ahad, 27 September 2020 | 1:09am
Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh (tengah) dalam sidang media sempena keputusan Pilihan Raya Negeri Sabah, malam ini. - Foto NSTP
Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh (tengah) dalam sidang media sempena keputusan Pilihan Raya Negeri Sabah, malam ini. - Foto NSTP

SPR umum GRS menang 38 kerusi, bentuk kerajaan Sabah

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) secara rasmi, membentuk kerajaan negeri yang baharu di Sabah, selepas memenangi 38 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam.

GRS yang dianggotai Perikatan Nasional (PN) memenangi 17 kerusi, Barisan Nasional (BN) mendapat 14 kerusi, seterusnya Parti Bersatu Sabah (PBS) menawan tujuh kerusi.

Pengumuman itu dibuat Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh di Wisma Persekutuan, di sini, malam tadi.

Abdul Ghani berkata, Parti Warisan Sabah (Warisan) memenangi 29 kerusi, manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) menang dua kerusi, seterusnya Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) hanya satu kerusi.

"Calon bebas memenangi tiga kerusi," katanya dalam sidang media, hari ini.

Abdul Ghani berkata, sehingga jam 5 petang tadi, 66.6 peratus atau 739,083 pengundi keluar menunaikan tanggungjawab.

Katanya, walaupun rendah berbanding sasaran awal iaitu 70 hingga 75 peratus, namun SPR berpuas hati dengan komitmen ditunjukkan rakyat di sebalik penularan pandemik COVID-19 di pantai timur Sabah.

"Kelewatan pengumuman keputusan penuh malam ini disebabkan masalah pada sistem yang menyebabkan proses kemasukan data rasmi tertangguh selama 25 minit.

"Secara keseluruhan, SPR berpuas hati dengan perjalanan PRN Sabah kali ini kerana pematuhan yang tinggi terhadap prosedur operasi standard (SOP) COVID-19," katanya.

SPR juga berterima kasih kepada semua pihak yang terbabit untuk memastikan PRN Sabah berjalan lancar.



Berita Harian X