ALOR SETAR: Perkhidmatan feri Kuala Kedah ke Langkawi beroperasi semula hari ini, selepas dihentikan sementara berikutan Perintah Kawalan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran di daerah Kota Setar.
Pegawai Operasi Ferry Line Ventures, Ahmad Azizan Aziz, berkata operasi feri ke Langkawi kembali berjalan seperti biasa membabitkan empat perjalanan pada jam 8 pagi, 10.30 pagi, 2 petang dan 4.30 petang.
"Jadual perjalanan ini hanya bagi tempoh selama tiga hari sehingga Isnin dan jadual perjalanan akan ditambah seperti biasa mulai Selasa ini.
"Kita hanya buka empat perjalanan bagi tempoh tiga hari kerana mungkin ada yang masih fobia akibat penularan pandemik COVID-19," katanya ketika ditemui di Terminal Feri Kuala Kedah, di sini hari ini.
Ahmad Azizan berkata, semua penumpang digalak membeli tiket secara dalam talian bagi mengelak kesesakan di kaunter selain perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Sementara itu, tinjauan mendapati lebih 100 penumpang menggunakan perkhidmatan feri melalui Terminal Feri Kuala Kedah pagi ini.
Kebanyakan penumpang membeli tiket sejak semalam, selepas dimaklumkan PKPD Kota Setar ditamatkan semalam.
Penumpang feri, Azwan Shah Masod, 35, berkata, dia bertolak dari Johor petang semalam, dan tiba di Terminal Feri Kuala Kedah pagi tadi, kerana mempunyai urusan di Langkawi.
Katanya, dia tidak perlu bergegas ke Terminal Jeti Kuala Perlis kerana jarak perjalanan yang lebih jauh berbanding Kuala Kedah.
"Apa yang penting kita kena pakai pelitup muka, guna pengimbas MySejahtera dan ikut SOP ditetapkan kerana COVID-19 masih ada di mana-mana," katanya.