Rabu, 23 September 2020 | 7:26pm
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto BERNAMA
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto BERNAMA

COVID-19: Hantar sampel ke Semenanjung

KUALA LUMPUR: Baki sampel ujian COVID-19 yang diperoleh hasil saringan individu yang dijalankan di Sabah akan dihantar ke Semenanjung, jika kapasiti ujian di negeri itu mencecah 2,500 ujian sehari.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, sampel berkenaan akan dihantar menggunakan perkhidmatan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan perkhidmatan kurier swasta ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) bagi menampung pengujian sampel tambahan.

"Berikutan pertambahan bilangan kes di Sabah, Kementerian Kesihatan menambah kapasiti makmal yang boleh menjalankan ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (rRT-PCR) sebagai satu daripada langkah kesiapsagaan.

"Secara keseluruhan, jumlah kapasiti ujian harian makmal sampel COVID-19 di seluruh Sabah adalah ditingkatkan kepada 2500 ujian sehari," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, bagi fasiliti di Hospital di Queen Elizabeth, kapasiti maksima makmal ditingkatkan kepada 400 ujian berbanding 100 ujian pada Mac lalu, 2,000 daripada 200 ujian bagi Makmal Kesihatan Awam Kota Kinabalu dan 100 ujian di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Selain itu, katanya, terdapat sebanyak 23 makmal hospital dan 26 makmal klinik kesihatan di bawah Kementerian Kesihatan yang menjalankan ujian RAPID Test Kit Antigen RTK-Ag di Sabah, ketika ini.

"Bagi jangka masa panjang, Kementerian Kesihatan sedang berusaha membangunkan sebuah makmal molekular di Hospital Tawau.

"Selain itu, kementerian juga sedang menunggu penghantaran kaset GENEXPERT COVID-19 dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi kegunaan di Hospital Tawau, Hospital Sandakan dan Hospital Lahad Datu.

"Ujian ini digunakan bagi mengesan virus SARS-COV-2. Mesin GENEXPERT dengan empat laci mampu menjalankan 40 ujian sehari," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X