Ahad, 20 September 2020 | 7:01pm
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali, berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapat maklumat mengenai kemasukan besar-besaran Pendatang Tanpa Izin (PATI) dari negara jiran ke Sabah bertujuan membuat kekacauan pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 26 September depan. FOTO ARKIB NSTP
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali, berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapat maklumat mengenai kemasukan besar-besaran Pendatang Tanpa Izin (PATI) dari negara jiran ke Sabah bertujuan membuat kekacauan pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 26 September depan. FOTO ARKIB NSTP

Kemasukan PATI besar-besaran, PDRM gerak aset semaksimum mungkin

KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapat maklumat mengenai kemasukan besar-besaran Pendatang Tanpa Izin (PATI) dari negara jiran ke Sabah bertujuan membuat kekacauan pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 26 September depan.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali, berkata susulan itu pihaknya akan menggerakkan aset semaksimum mungkin bagi mengekang kemasukan mereka.

"Kita sedia maklum situasi peningkatan kes positif COVID-19 secara seratus peratus di negeri ini terutama dalam kalangan PATI di pantai timur Sabah.

"Saya sudah berhubung dengan Komander ESSCOM untuk meningkatkan tahap keselamatan bagi menghalang kemasukan PATI ke pantai timur Sabah dan sempadan Sabah di Kalimantan.

"Aset-aset di perairan kita juga akan digerakkan semaksimum mungkin bagi menjalankan rondaan di sempadan selain menggabungkan kerjasama Op Benteng bersama agensi lain termasuk ATM serta Imigresen," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini.

Tambahnya, kerjasama itu juga bagi meningkatkan kawalan keselamatan terutama pada musim pilihan raya negeri (PRN) yang bakal tiba.

Setakat ini katanya, polis dan ATM giat menjalankan kawalan di 96 pos sempadan laut dan darat di pantai timur serta Kalimantan.

"Kita akan menjalankan rondaan jarak dekat dan jauh bagi mengesan lorong tikus serta lorong gajah (laluan haram) di sepanjang sempadan negara," katanya.

Berita Harian X