Khamis, 17 September 2020 | 12:10pm
Bekas CEO 1MDB, Mohd Hazem Abdul Rahman (kanan) menyambung keterangan di Mahkamah Tinggi, hari ini
Bekas CEO 1MDB, Mohd Hazem Abdul Rahman (kanan) menyambung keterangan di Mahkamah Tinggi, hari ini

'Tiada pegawai mahu ganti, isi jawatan CEO 1MDB'

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Mohd Hazem Abd Rahman, memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, yang semua pegawai bawahan dalam syarikat itu tidak mahu menggantikan beliau sebagai CEO kerana jawatan terbabit banyak terdedah kepada unsur politik.

Mohd Hazem berkata, berikutan itu beliau meminta bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib, Allahyarham Datuk Azlin Alias, untuk memberitahu ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, supaya mencari calon untuk menggantikannya.

Katanya, sebelum itu pada akhir Oktober 2014 selepas pulang daripada menunaikan haji, beliau menyatakan secara serius mengenai hasrat untuk meletakkan jawatan kepada Jho Low dan Azlin.

Beliau berkata, pada 3 Januari 2015 selepas kembali daripada bercuti, Azlin memberitahunya ada calon untuk menjawat jawatan Penolong CEO dan dia diminta meneruskan jawatan sebagai CEO sehingga Edra Energy (anak syarikat semua IPP di 1MDB) berjaya disenaraikan di Bursa Malaysia dalam pertengahan tahun 2015.

"Pada 5 Januari 2015, hari pertama bekerja pada tahun itu, Arul Kanda datang untuk melapor diri sebagai Presiden 1MDB, yang bermaksud saya sebagai CEO akan melapor kepada beliau.

"Pada masa ini saya membuat keputusan bahawa inilah masa yang tepat untuk meletakkan jawatan sebagai CEO kerana portfolio jawatan Presiden adalah sama sahaja dengan CEO," katanya.

Mohd Hazem berkata demikian pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Berita Harian X