Rabu, 16 September 2020 | 6:00pm
PENGERUSI Barisan Nasional Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berucap pada Majlis Pelancaran Aku Janji Gabungan Rakyat Sabah pada Pilihan Raya Negeri Sabah. - Foto BERNAMA
PENGERUSI Barisan Nasional Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berucap pada Majlis Pelancaran Aku Janji Gabungan Rakyat Sabah pada Pilihan Raya Negeri Sabah. - Foto BERNAMA

PRN Sabah: 'Hukum kami jika mungkir janji'

KOTA KINABALU: Pentadbiran negeri di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dibarisi Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) sedia dihukum rakyat sekiranya gagal melaksanakan pengisian Aku Janji yang dibentangkan.

Perkara itu dilontarkan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang memberi jaminan GRS komited melaksanakan Aku Janji sepanjang tempoh lima tahun memegang mandat pemerintahan.

Katanya, manifesto itu dirangka dan dirangkum selepas mengambil kira pelbagai aspek termasuk keselamatan dan kedaulatan Sabah yang akan sentiasa dipelihara.

"Rakyat tidak perlu bimbang dengan Aku Janji ini kerana jika tidak ditunaikan, kerajaan ini (kerajaan negeri PN, BN dan PBS) tidak akan bertahan walau satu penggal atau setengah penggal sahaja.

"Kita komited untuk melaksanakan Aku Janji ini demi semangat pertiwi, kerajaan lebih adil, berintegriti dan amanah," katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Aku Janji GRS di sini, hari ini.

Aku Janji GRS bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah itu dilancarkan Perdana Menteri yang juga Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Turut hadir, Pengerusi PN Sabah, Datuk Hajiji Noor; Timbalan Presiden PBS, Datuk Radin Malleh dan pemimpin kanan parti.

Aku Janji itu menggariskan sembilan teras utama merangkumi infrastruktur, ekonomi, peluang pekerjaan, perkhidmatan awam, kesihatan dan kesejahteraan rakyat, pendidikan modal insan, keselamatan, belia, pembangunan wanita.

Sementara itu, Hajiji berkata, Aku Janji GRS adalah usaha membawa Sabah ke era dan harapan baharu selepas PN, BN dan PBS mengambil alih tampuk kerajaan negeri.

Beliau berkata, Sabah mampu memacu pembangunan lebih menyeluruh sekiranya mempunyai hubungan baik dan sehaluan dengan kerajaan Persekutuan.

Katanya, kepemimpinan Muhyiddin sudah terbukti sebagai yang terbaik kepada negara dan Sabah walaupun baru mengambil alih pentadbiran.

"Jika berpaksikan hak Sabah menerusi Perjanjian Malaysia (MA63), Aku Janji ini akan menjadi keistimewaan bagi rakyat Sabah dalam PRN.

"Di peringkat Persekutuan, kita ada Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, justeru Aku Janji ini adalah tawaran lebih baik untuk memulihkan ekonomi yang dihancurkan pentadbiran Parti Warisan Sabah (WARISAN)," katanya.



Berita Harian X