Selasa, 15 September 2020 | 6:51pm
MENTERI Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
MENTERI Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

RM10.4 bilion dana pinjaman mudah PKS dilulus

KUALA LUMPUR: Jumlah permohonan bagi dana pinjaman mudah perusahaan kecil sederhana (PKS) yang diluluskan oleh bank tempatan dan disetuju terima oleh PKS berjumlah RM10.4 billion setakat 4 September lalu.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata dana yang dikendalikan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) itu akan memberi manfaat kepada 22,688 PKS, meningkat daripada RM10.3 billion minggu lalu yang memanfaatkan 22,440 PKS.

Jumlah itu, katanya, termasuk dana Kemudahan Bantuan Khas (SRF), Kemudahan Automasi Digitalisasi (ADF), Kemudahan Semua Sektor Ekonomi (AES) dan Kemudahan Agromakanan (AF).

Beliau memaklumkan demikian dalam laporan LAKSANA ke-21 Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) hari ini.

Tengku Zafrul berkata, walaupun dana SRF telah dimanfaatkan sepenuhnya, PKS masih boleh memohon skim pembiayaan yang masih tersedia melalui Tabung BNM seperti ADF, AES dan AF.

PKS juga boleh mendapatkan pembiayaan lain melalui platform imSME di pautan https://imsme.com.my/portal/bm/ yang boleh membantu dalam membuat padanan pembiayaan yang diperlukan dengan pelbagai institusi kewangan untuk PKS.

Bagi Skim Kredit Mikro Bank Simpanan Nasional (BSN), setakat 4 September lalu, pembayaran dibuat kepada 10,695 PKS membabitkan jumlah sebanyak RM361.3 juta.

"Untuk Program TEKUN pula, pembayaran dibuat kepada 25,616 PKS membabitkan jumlah sebanyak RM194.02 juta," katanya.

Mengenai program Subsidi Upah PENJANA, Tengku Zafrul berkata, program itu memanfaatkan lebih 2.62 juta pekerja dengan nilai yang diluluskan sebanyak RM10.41 bilion setakat 4 September.

Program subsidi upah adalah salah satu inisiatif kerajaan dalam membantu rakyat terjejas akibat COVID-19.

Dalam pada itu, sehingga 4 September juga, sebanyak RM267.4 juta sudah disalur berdasarkan 827,974 tuntutan bagi elaun khas barisan hadapan yang terdiri daripada doktor, jururawat dan kakitangan perubatan lain yang terbabit secara langsung dalam pengurusan dan pembendungan wabak COVID-19.

Elaun khas itu juga dipanjangkan kepada anggota tentera, polis, kastam, imigresen, bomba, anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang terbabit secara langsung dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagi pemandu teksi, kerajaan menyalurkan bantuan tunai sekali bayar kepada 33,377 pemandu berjumlah RM20 juta setakat tempoh sama, manakala seramai 7,622 pemandu pelancong menerima bantuan tunai sekali bayar berjumlah RM4.6 juta.

Bagi program bantuan majikan COVID19 (e-CAP) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), sebanyak 68,985 permohonan diterima dan daripada jumlah itu, 12,994 permohonan diluluskan bernilai RM84.5 juta sehingga 4 September. - BERNAMA

Berita Harian X