Selasa, 15 September 2020 | 11:55am
Dudley International House di Melbourne, Australia. - Foto ihsan MARA Inc
Dudley International House di Melbourne, Australia. - Foto ihsan MARA Inc

Kes MARA Inc: Bekas ahli politik antara bakal didakwa SPRM

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mungkin akan mendakwa individu tertentu berhubung kes penjualan hartanah Dudley International House, di Melbourne, Australia kepada MARA Incorporated Sdn Bhd (MARA Inc).

Ketua Pesuruhjaya, Datuk Seri Azam Baki, berkata pihaknya akan mendapat keterangan daripada hasil siasatan Australian Federal Police (AFP) berkaitan kes itu.

"Baru-baru ini dilaporkan beberapa orang sudah pun dituduh di sana oleh pihak AFP. Justeru, kita sudah berhubung dengan AFP dan prosesnya sedang berjalan.

"Kami sudah berbincang dengan timbalan pendakwa raya untuk melihat tuduhan yang mungkin boleh dikenakan ke atas individu tertentu dalam kes ini, berdasarkan sedikit keterangan yang kita peroleh daripada AFP.

"Jika undang-undang membenarkan kita untuk menuduh individu ini, kita akan menuduh individu individu tertentu dalam kes MARA ini berdasarkan bukti daripada AFP," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucaptama pada forum "Liabiliti Korporat: Adakah Anda Berisiko?" di sini, hari ini.

Azam mengatakan SPRM mungkin akan mendakwa individu tertentu berhubung kes penjualan hartanah Dudley International House, di Melbourne. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin
Azam mengatakan SPRM mungkin akan mendakwa individu tertentu berhubung kes penjualan hartanah Dudley International House, di Melbourne. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Mahkamah di Australia baru-baru ini membuat dakwaan terhadap seorang warganegara mereka yang terbabit dalam salah laku rasuah penjualan hartanah itu kepada MARA Inc pada 2013.

Akhbar Australia, The Age pada 2015 melaporkan seorang pegawai tertinggi MARA, seorang pegawai kanan, dan seorang bekas ahli politik, didakwa membelanjakan berjuta-juta dana kerajaan untuk membeli satu blok apartmen di Melbourne dalam penipuan hartanah itu.

Akhbar itu mendakwa 'sekumpulan pegawai Malaysia yang amat kaya' terlebih bayar sebanyak A$4.75 juta (RM13.8 juta) bagi blok apartmen di bandar raya itu pada 2013.

Dudley International House ialah bangunan lima tingkat seluas 30,279 kaki persegi yang menempatkan 112 bilik, termasuk asrama pelajar, dibeli oleh MARA untuk kegunaan pelajar Malaysia tajaannya di Australia.

Berita Harian X