Khamis, 10 September 2020 | 8:53pm
Antara penumpang yang menaiki feri terakhir pada jam 6 petang di Terminal Feri Kuala Kedah sebelum ia ditutup dua minggu bermula tengah malam ini berikutan pelaksanaan PKPD Pentadbiran. - Foto NSTP/Noorazura Abdul Rahman
Antara penumpang yang menaiki feri terakhir pada jam 6 petang di Terminal Feri Kuala Kedah sebelum ia ditutup dua minggu bermula tengah malam ini berikutan pelaksanaan PKPD Pentadbiran. - Foto NSTP/Noorazura Abdul Rahman

Ambil peluang ke Langkawi sebelum terkandas

Alor Setar: Lebih 300 penumpang sempat menaiki feri terakhir ke Pulau Langkawi dari Terminal Feri Kuala Kedah, di sini, sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Pentadbiran di daerah Kota Setar bermula tengah malam tadi.

Tinjauan di terminal berkenaan pada jam 6 petang mendapati penumpang mengambil peluang kembali ke pulau peranginan itu sama ada untuk bekerja atau pulang ke kampung.

Penumpang, Safi Abdullah, 19, berkata dia datang untuk menziarahi keluarga mentuanya di Alor Setar sejak dua hari lalu dan sepatutnya pulang ke Langkawi, esok.

"Sebaik sahaja mendapat maklumat bahawa kerajaan akan melaksanakan PKPD Pentadbiran di Kota Setar, saya terus beli tiket untuk pulang petang ini juga.

"Jika tidak selepas dua minggu, baru saya dapat balik jumpa anak dan suami saya di Langkawi," katanya ketika ditemui di Terminal Feri Kuala Kedah, di sini, hari ini.

Petugas di terminal feri berkenaan, Faizuddin Shah Shaaran, 30, berkata dia membantu menghantar rakannya menaiki feri pada petang semalam walaupun rakannya masih bercuti.

"Kawan saya bekerja di sebuah hotel di Langkawi. Dia masih ada baki cuti dua hari lagi, tetapi terpaksa pulang petang ini agar tidak terkandas selama dua minggu.

"Selain itu, ramai juga pelajar yang berasal dari Langkawi menaiki feri ke pulau itu, petang ini," katanya.

Sementara itu, Konsortium Ferry Line Ventures akan memohon penambahan perjalanan feri dari Kuala Perlis ke Langkawi jika berlaku pertambahan penumpang di jeti Kuala Perlis susulan pelaksanaan PKPD Pentadbiran di daerah Kota Setar bermula tengah malam ini.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi, Kapten Baharin Baharom, berkata pihaknya akan menutup perkhidmatan feri di terminal feri Kuala Kedah hingga 25 September ini seperti yang diarahkan kerajaan.

Konsortium Ferry Line Ventures meletakkan memo mengenai tiket untuk perjalanan dari Langkawi ke Kuala Kedah hari ini yang sudah penuh ketika tinjauan BERNAMA di Terminal Feri Penumpang Kuah. - foto BERNAMA
Konsortium Ferry Line Ventures meletakkan memo mengenai tiket untuk perjalanan dari Langkawi ke Kuala Kedah hari ini yang sudah penuh ketika tinjauan BERNAMA di Terminal Feri Penumpang Kuah. - foto BERNAMA

"Perkhidmatan feri ke Langkawi hanya diteruskan di Kuala Perlis, jika jumlah penumpang atau pelancong meningkat, kita akan memohon dengan Jabatan Laut Malaysia untuk menambah perjalanan feri ulang alik dari Kuala Perlis-Langkawi," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Baharin berkata, pihaknya membenarkan semua tiket perjalanan yang terjejas untuk memindahkan tarikh perjalanan hingga 31 Mac 2021.

Berita Harian X