Rabu, 9 September 2020 | 3:30pm
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

Institusi perbankan terus sedia bantu peminjam

PUTRAJAYA: Institusi perbankan terus bersedia untuk membantu peminjam yang masih terjejas akibat COVID-19 melalui moratorium lanjutan dan bantuan bank bersasar bermula 1 Oktober 2020, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Katanya, inisiatif ini adalah bagi menjamin perniagaan dan isi rumah yang benar-benar memerlukan akan terus dibantu melalui akses kepada pembiayaan.

"Penemuan dan pembuatan vaksin COVID-19 secara komersial akan

mengambil masa.

"Oleh sebab itu, kita perlu memastikan sistem perbankan negara

kekal utuh dan kukuh untuk sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan di masa hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Laporan LAKSANA Ke-20 Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), hari ini.

Tengku Zafrul berkata, setakat 28 Ogos lalu, nilai moratorium bayaran balik pinjaman institusi kewangan dianggarkan berjumlah RM81.9 bilion.

Daripada angka ini, katanya sebanyak RM28.6 bilion adalah jumlah yang dimanfaatkan oleh sektor perniagaan manakala jumlah yang dimanfaatkan oleh peminjam individu bernilai RM53.3 bilion.

"Sehingga 28 Ogos lalu, pihak bank telah menghubungi lebih dua juta peminjam yang merangkumi individu, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat lain termasuk perniagaan korporat dan komersil bagi menawarkan bantuan pembayaran pembiayaan.

"Sejumlah 732,000 peminjam yang mengambil moratorium secara automatik telah kembali meneruskan bayaran ansuran bulanan pinjaman setakat 28 Ogos lalu berbanding 336,000 peminjam pada April 2020," katanya.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) dengan kerjasama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan bank tempatan telah mengadakan lebih daripada 100 sesi libat urus membabitkan pihak berkepentingan serta giat mengadakan dialog.

Katanya, ini bagi memastikan peralihan daripada moratorium secara automatik kepada program bantuan yang lebih bersasar berjalan lancar.

"Ini termasuk Kempen Pelan Bayaran Balik Pinjaman (RAC) yang bertujuan memberi khidmat nasihat serta pelan perancangan bayaran balik pinjaman atau pembiayaan pasca moratorium," katanya.

Berita Harian X